Enam cedera serangan bersenjata di Jordan
AMMAN - Sekurang-kurangnya enam orang termasuk empat pelancong cedera dalam serangan bersenjata pisau di Jordan hari ini, kata seorang jurucakap keselamatan.
Jurucakap pengarah keselamatan awam, Amer Sartawi memberitahu AFP, seramai empat orang pelancong terdiri daripada tiga warga Mexico dan seorang wanita Sweden, seorang pemandu pelancong warga Jordan dan seorang pengawal keselamatan cedera dalam serangan terbabit.
"Sekitar waktu tengahari, seorang lelaki menyerang pelancong, seorang pemandu pelancong dan seorang pengawal keselamatan yang cuba menahan penyerang terbabit di Jerash, destinasi popular terletak kira-kira 50 kilometer dari Amman.
"Mangsa cedera dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan sementara penyerang telah ditahan," kata Sartawi.
Sartawi bagaimanapun tidak menyatakan kewarganegaraan penyerang atau memberi butiran lanjut tentang kecederaan dialami mangsa.
Setakat ini, motif serangan masih belum diketahui. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!