'Tinggalkanlah benda pelik-pelik', PU Amin minta maaf pada rakan Kristian
SHAH ALAM - "Mazhab mana pulak bergambar pakai baju pengantin dekat kubur Kristian ni." Demikian kata-kata pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin ketika menyentuh isu tular foto pengantin bergambar di tapak perkuburan yang mengundang kritikan ramai.
Amin, 29, atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim meluahkan rasa kesal itu di Instagram rasminya.
Beliau turut mendedahkan rakannya yang beragama Kristian turut tersinggung kerana tanah perkuburan adalah tanda hormat mereka kepada si mati selain mengenakan pakaian yang sesuai ketika menziarah kubur sanak saudara.
"Untuk makluman semua lepas saya tanya dengan rakan-rakan saya yang beragama Kristian, mereka sendiri ada pakaian khas untuk mereka ke kubur sebagai tanda hormat mereka...
"Mereka juga kecewa bila ada orang ambil gambar macam ini. Orang Kristian pun tahu adab dan cara bila di kubur.
"Mereka datang dan balik, sambil fikir hal kematian tetapi kita boleh pula bergambar, aneh tuan-tuan, aneh..." tulisnya.
Beliau juga mengingatkan kepada masyarakat agar menghormati agama bangsa lain demi keharmonian.
"Hormatlah agama orang lain. Kalau mereka buat dekat kubur kita macam mana ? Pada kawan-kawan Kristian saya minta maaf atas ketelanjuran ini...
"Ya ALLAH, apa sudah jadi dengan dunia. Macam macam cara 'marketing' orang sekarang. Ikutlah sabda nabi ‘tinggalkan benda pelik- pelik’..." katanya.
Ekoran daripada kecaman yang bertubi-tubi, pemilik butik bertindak menutup akaun Facebook buat sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.
Dalam pada itu netizen menyuarakan kemarahan dengan melakukan troll foto model pengantin digantikan dengan muka tengkorak selain meletakkan gambar hantu di sisi model tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!