Mahkamah kekalkan hukuman gantung tukang masak bunuh pelajar
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas bekas tukang masak kerana membunuh seorang pelajar perempuan dengan mengelar lehernya, empat tahun lalu.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed berkata, mahkamah telah meneliti penghakiman Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang mendapati Syarafi Abu telah menyebabkan kecederaan maut terhadap Nur Syuhada Johari.
Beliau berkata, kedua-dua mahkamah itu yang mendapati Syarafi menyebabkan kecederaan maut disokong oleh keterangan.
Isu utama yang dibangkitkan oleh peguam Syarafi adalah sama ada si mati menikam dirinya sendiri, sambil menambah bahawa isu itu telah dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi yang membuat kesimpulan bahawa Syarafi yang menyebabkan kecederaan maut itu terhadap si mati.
"Kami tidak melihat apa-apa kesilapan di Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Rayuan. Kami mendapati tidak ada sebab yang munasabah untuk mengubah keputusan mahkamah sebelum ini," katanya ketika menolak rayuan akhir Syarafi terhadap sabitan dan hukuman mati.
Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat.
Syarafi, 29, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 2017 atas pertuduhan membunuh Nur Syuhada, 20, pelajar Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang semasa di dalam sebuah kereta ketika berada di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Gantang pada 2 Februari 2015.
Syarafi gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Seorang penunggang motosikal dalam keterangan mengatakan kereta itu telah berhenti di laluan kecemasan dan dia melihat Syarafi mengheret mangsa dengan menarik rambutnya dari belakang dan wanita itu kelihatan seolah-olah meminta pertolongan. Dia menyangka mereka bergaduh.
Saksi itu tidak dapat melihat apa yang berlaku selepas itu tetapi melihat Syarafi memanjat halangan besi di tepi jalan dan berjalan ke bawah bukit. Dia kemudian melihat si mati berlumuran darah, terbaring di dalam kereta.
Menurut saksi itu, 40 minit kemudian Syarafi kembali ke tempat kejadian dan mengambil telefon bimbitnya dari kereta dan dia mendengar Syarafi mengatakan: "Tak mampus lagikah perempuan ini".
Seorang ahli patologi yang melakukan post mortem terhadap si mati mendapati kematiannya disebabkan oleh satu luka tusukan di leher menyebabkan pendarahan teruk. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!