Tentera Zionis acu senjata pada lelaki Palestin dikecam
HEBRON - Sebuah video tular menunjukkan dua anggota tentera Israel menolak dan mengacukan senjata kepada seorang lelaki Palestin dan anaknya mengundang kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial Palestin.
Rakaman video berdurasi 45 saat yang dipercayai berlaku di bandar Hebron dekat selatan Tebing Barat itu bermula dengan seorang tentera menjerit kepada lelaki terbabit menuduh anaknya melemparkan batu pada pasukan keselamatan Zionis.
"Baling batu? Dia hanya berusia lima tahun," jawab lelaki itu.
"Ya baling batu. Semua kawan-kawan kamu juga membaling batu. Saya tidak peduli berapa umur anak kamu," balas tentera terbabit.
Seorang lagi rakan tentera kemudiannya menghampiri mereka bertiga sebelum menolak dan mengacukan senjatanya ke wajah bapa Palestin itu.
Insiden tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pihak berkuasa Israel yang kononnya akan menyiasat tentang insiden itu.
Rabu lalu, satu rakaman video memaparkan anggota polis Zionis menembak seorang lelaki Palestin di sempadan Israel turut tular dan mendapat kecaman daripada netizen. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!