Program Fitrah Suci penuhi keperluan banduan
SHAH ALAM - Program Fitrah Suci yang dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang sejak September 2017 pemangkin modul keagamaan sedia ada di Jabatan Penjara Malaysia berjaya mencapai objektif.
Program tersebut turut menerima Anugerah Emas Malaysia Pusat Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Timur, johan Inovasi UiTM Zon timur dan Anugerah Khas Hibrid Jabatan Penjara Malaysia serta Fasilitator Cemerlang MPC Kebangsaan.
Ketua program, Che Bakar Che Mat berkata, Program Fitrah Suci diperkenalkan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan Kampung Machang dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Menurutnya, terdapat 12 modul pengisian bagi tempoh enam bulan yang kini memasuki kumpulan ketiga melibatkan 100 banduan dengan tenaga pengajar fasilitator daripada tiga agensi tersebut.
“Kami memperkemaskan modul agama sedia ada dengan mengisi ruang-ruang bagi mempertingkatkan pengetahuan agama di kalangan banduan dan membimbing mereka.
“Hasrat kami juga mahu banduan ini tidak mengulangi kesalahan jenayah atau kembali semula masuk ke penjara atau PPA selain menjalani kehidupan baharu lebih baik.
“Peserta (banduan) program memberi maklum balas positif kerana modul disediakan di bawah program ini memenuhi kehendak mereka dalam memperbaiki diri menjadi insan bertakwa,” katanya ketika ditemui di Kumpulan Media Karangkraf Seksyen 15 di sini hari ini.
Ketua Kumpulan Inovasi PPA Machang, Muhammad Talmizi Muda berkata, peserta program yang dipilih merupakan banduan yang sedang menjalani hukuman di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!