Perak Bison atur langkah

Barisan pemain Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, malam kelmarin. - Foto: Sepak Takraw League
Barisan pemain Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, malam kelmarin. - Foto: Sepak Takraw League
A
A
A

SEJURUS ditabalkan selaku juara Liga Sepak Takraw (STL) 2019, Perak Bison berhasrat mahu terus mengekalkan khidmat awang import Thailand bagi menghadapi Piala Juara-Juara STL 2019 di Johor bulan depan.

Ketua Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail berkata, pihaknya akan berunding dengan kelab asal tekong, Nattawhut Naewprom yang turut bertanding mewakili Thailand pada saingan itu nanti.

Menurut Ismi, perkara itu akan dibincangkan terlebih dulu sebelum kesemua pemain Perak Bison kembali memulakan latihan pada awal Disember ini.

"Saya dimaklumkan kelab yang diwakili Nattawhut akan turut bersaing pada Piala Juara-Juara nanti tetapi kita akan berunding dengan kelab tersebut kerana kemungkinan kita mahu terus dia mewakili pasukan (Perak Bison).

"Kehadiran Natthawut memberi kelebihan, namun pada masa sama, tanpa sokongan perejam dan apit kiri mungkin kejayaan ini tidak dapat dicapai. Dia memberi motivasi dan kita dapat belajar dengan apa yang dipersembahkannya," katanya ketika ditemui di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Kedudukan keseluruhan saingan STL 2019
Kedudukan keseluruhan saingan STL 2019

Ditanya mengenai kejuaraan pertama Perak Bison muncul juara STL edisi keenam itu, Ismi menegaskan bahawa komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pemain termasuk pihak pengurusan dan kejurulatihan menjadi kunci utama kejayaan mereka.

"Semangat kerjasama semua pihak susah sama susah, senang sama senang adalah kunci kejayaan kita kali ini. Laluan rezeki kami di gelanggang sendiri setelah merancang selama empat bulan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk menghadapi saingan (Piala Juara-Juara STL 2019) di Johor nanti, kita akan kaji kembali corak permainan, keadaan pemain, kecederaan dan sebagainya," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Perak (PERSEDAR), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sudah pasti menjadi individu paling gembira atas kejayaan tersebut.

"Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan ini. Usaha para pemain dan pegawai pasukan selama lebih dua bulan ini berbaloi dengan kejayaan ini. Apa yang lebih penting, ia dicatatkan di depan penyokong sendiri," ujarnya.

INFO

Juara

Perak Bison

Naib Juara

ATM Guardians

Tempat ketiga

Johor Tigris

Tempat keempat

Penang Black Panthers

Fair Play

Negeri Sembilan Antlers

Pemain Paling Bernilai (MVP)

Mohammad Azlan Alias

(Penang Black Panthers)

Feeder Terbaik

Aidil Aiman Azwawi

(Kelantan Warriors)

Killer Terbaik

Mohammad Azlan Alias

(Penang Black Panthers)

Tekong Terbaik

Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi

(Kuala Lumpur Thunder)

Pemain Import Terbaik

Apirak Promanee

(Kelantan Warriors)

Pemain Terbaik Mingguan

Mohamad Hafizul

Hayazi Adnan

Jurulatih Terbaik

Aswadi Abdullah

(ATM Guardians)

Pengurus Terbaik

Mejar Tajul HIsyam Mamat

(ATM Guardians)

Pengadil Terbaik

Muhamad Ariffin Ahmad Rahim

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!