'Jangan izin orang tebuk bahtera kita' - Abdul Hadi

Ahmad Zahid (tiga dari kiri), Abdul Hadi (tiga dari kanan) dan Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (tengah) bersama kepimpinan tertinggi BN dan PAS bergambar bersama di atas pentas pada Ceramah Perdana di Kampung Rimba Terjun malam tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahmad Zahid (tiga dari kiri), Abdul Hadi (tiga dari kanan) dan Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (tengah) bersama kepimpinan tertinggi BN dan PAS bergambar bersama di atas pentas pada Ceramah Perdana di Kampung Rimba Terjun malam tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - "Potongkan tangan orang yang hendak tebuk bahtera (Muafakat Nasional) dengan undi, ajar mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai."

Demikian pesanan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada lebih 3,000 hadirin yang memenuhi program Ceramah Perdana BN di Kampung Rimba Terjun di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, pihaknya mahu semua pengundi Parlimen Tanjung Piai memahami PRK kali perlu dimenangi calon MCA untuk memberi isyarat jelas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal dimenangi BN menerusi Muafakat Nasional.

Menurutnya, parti bekerjasama dalam Muafakat Nasional memerlukan kerusi Parlimen dimenangi calon bukan Islam tidak ekstrem untuk membantu kemenangan pada PRU15.

"Pas menolak parti ekstrem seperti DAP yang bertindak menghentam dasar dan perjuangan parti itu meskipun berada dalam satu pakatan di bawah Pakatan Rakyat.

"Pas sebelum ini berbeza pendapat dengan MCA, tetapi kita tidak satu haluan ketika itu.

"Tidak seperti DAP hentam kita sewaktu bersama dalam PR, seolah-olah kita parti luar.

"Sebab itu, saya mahu semua faham calon MCA mewakili Pas dan BN, bukan mewakili satu kaum sahaja. Kita mesti sepakat dalam perkara kepentingan bersama, jangan izin orang tebuk bahtera kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ceramah perdana BN sempena PRK Parlimen Tanjung Piai di Kampung Rimba Terjun di sini hari ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad.

Abdul Hadi berkata, semua parti yang ada sewaktu kemerdekaan negara dahulu tidak menyokong perjuangan komunis.

Menurutnya, faktor Pas menyokong calon MCA disebabkan rakyat negara ini perlu memahami Islam diajar bukan sekadar agama, tetapi Islam adalah cara hidup, di antaranya mengajak manusia hidup bermasyarakat.

"Saya ambil contoh punca pakaian daripada kain, kain daripada benang, benang daripada kapas, kapas ditanam guna jentera pembajak.

"Tidak mungkin satu bangsa buat kerja semua. Ianya mesti dibahagikan mengikut tugas dan kerja ikut budaya dan bangsa masing-masing.

"Itulah konsep kita akan guna pakai dalam Muafakat Nasional, maka Pas turun di Tanjung Piai, berjanji sokong MCA", katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!