Pakatan Malaysia-Indonesia?

A
A
A

‘TENANG, tapi tegang,’ begitulah Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang berlangsung di Bangkok, Thailand tahun ini.

Apa tidaknya, tahun ini buat pertama kali kesemua 10 negara Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengadakan latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China secara berasingan di Laut China Selatan.

Jika September lalu, AS dan ASEAN mengadakan latihan ketenteraan bersama yang dikenali sebagai ASEAN-US Maritime Exercise (AUMX), beberapa bulan sebelumnya pula ASEAN mengadakan latihan ketenteraan dengan China.

Dalam latihan bersama ASEAN-AS, dilaporkan bahawa lapan buah kapal perang dan lebih 1,000 anggota tentera laut mengambil bahagian yang mana AS mengirim USS Montgomery (LCS-8), guided-missile destroyer USS Wayne E Meyer (DDG-108), tiga helikopter MH-60, sebuah pesawat P-8 Poseidon serta kakitangan yang ditugaskan kepada DESRON 7 dan CTF 73.

Negara ASEAN pula diwakili kapal KDB Darulaman (08) milik Tentera Laut Diraja Brunei, OPV BRP Ramon Alcaraz (PS-16 dan ex-USCGC Dallas) milik tentera laut Filipina, frigat RSS Tenacious (71) Tentera Republik Singapura, frigat UMS Kyan Sittha (F-12) milik Myanmar, OPV HTMS Krabi (OPV551) milik Tentera Laut Diraja Thailand serta sebuah kapal peronda pesisir dan sebuah korvet HQ-18 (ex-ROKN Gimcheon) milik Tentera Laut Rakyat Vietnam.

Apa yang menarik ialah tindakan dua negara serumpun yang juga dua angkatan laut terbesar di Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Malaysia yang tidak menghantar sebarang kapal perang dalam kedua-dua latihan ketenteraan sama ada latihan ASEAN-AS mahupun ASEAN-China.

Hal itu menimbulkan persoalan, adakah Malaysia dan Indonesia kini dalam proses membina order pakatan tentera laut tersendiri di Laut China Selatan yang bebas pengaruh kedua-dua kuasa besar iaitu AS dan China?

Hal itu tidak mustahil malah lebih baik berbanding negara ASEAN lain yang seolah-olah tidak memiliki prinsip jelas dalam menetapkan sempadan kehadiran aset ketenteraan kuasa besar di rantau ini. Pendirian Malaysia dan Indonesia ini terbukti tepat bahawa kedua-dua kuasa besar itu khususnya China jelas mengulangi tindakan membelakangi negara ASEAN dan cuba mendominasi Laut China Selatan.

Artikel Berkaitan:

Contoh terbaru adalah pada September lalu ketika China dan Malaysia bersetuju menyediakan mekanisme dialog bersama untuk wilayah Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, Asia Maritime Transparency Initiative melaporkan kapal China bertindak menceroboh perairan Malaysia selama 258 hari sejak tahun lepas.

Jelas sekali China tidak menghiraukan peringatan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bahawa Malaysia sering memantau kapal Tentera Laut dan Pengawal Pantai China di perairan negara.

Akibatnya, sebulan kemudian, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah terpaksa menegaskan di Parlimen bahawa tentera Malaysia perlu meningkatkan kualiti aset, khususnya untuk tujuan membuat kawalan di perairan negara dan bersedia jika berlaku perkara luar jangka melibatkan AS dan China di Laut China Selatan.

Sekali lagi, sewaktu Mesyuarat Majlis Komuniti Keselamatan-Politik ASEAN (APSC) di Thailand, Saifuddin menegaskan meskipun terlibat dalam rundingan dengan China berkenaan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan, namun Malaysia cukup mengambil serius akan ‘kehadiran bot-bot Pengawal Pantai China di perairan Malaysia’ yang semakin kerap.

Kemuncaknya, sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN-China yang berlangsung serentak, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan China perlu berhenti mengirim kapal perang bagi mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan.

Jika China tetap berdegil, maka eloklah kita perkukuhkan segera kerjasama tentera laut kita dengan Indonesia bagi memimpin kestabilan ASEAN.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!