Warga emas gembira rumah dibersihkan

Mohammed (kanan) ketika menyantuni pasangan warga emas, Ripin dan Ngonit.
Mohammed (kanan) ketika menyantuni pasangan warga emas, Ripin dan Ngonit.
A
A
A

KUALA PILAH - Sepasang warga emas gembira apabila rumah didiami mereka lebih selesa selepas dibersihkan dan diberi nafas baru dalam program khidmat masyarakat dianjurkan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dengan kerjasama Yayasan Undang Johol.

Pasangan tersebut, Ripin Khamis, 85, dan Ngonit Ujang, 84, yang kini uzur mampu tersenyum apabila kediamannya dibersihkan hasil gotong-royong dalam program tersebut.

Ripin berkata, dia menghidap penyakit buah pinggang tahap empat, prostat serta mempunyai masalah mata dan pendengaran manakala isterinya tidak mampu mengurus diri selain memerlukan bantuan anak-anak.

"Syukur rumah kami berada dalam keadaan lebih selesa dan bersih. Kami amat berterima kasih dan terharu apabila terpilih untuk program gotong-royong membersihkan rumah ini.

"Ini merupakan salah satu usaha yang baik malahan memberikan keceriaan kepada kami meniti usia sebegini pada hari-hari mendatang," katanya kepada pemberita selepas Program Khidmat Masyarakat di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Mohammed Abdullah.

Turut hadir, isteri Undang Luak Johol, Tok Puan Faridah Hanom Jaafar dan Pengarah HTAN, Dr Zaharimah Abdul Kadir.

Sementara itu, Mohammed dalam ucapannya berkata, program yang dibawa oleh jabatan kerajaan seperti ini perlu diteruskan dalam membantu lebih ramai masyarakat di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan kerajaan dari pelbagai peringkat ini menunjukkan bahawa semua peringkat ambil bahagian dalam menangani masalah di peringkat bawah," katanya.

Dalam majlis sama, Ripin turut menerima perabot baru antaranya meja makan, almari baju, kabinet dapur, kerusi malas dan kerusi roda serta membaiki sistem paip air.

Program gotong-royong selama empat jam bermula jam 8 pagi itu turut disertai 200 kakitangan kerajaan melibatkan Pejabat Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Kuala Pilah, Jabatan Kerja Raya Kuala Pilah dan Polis.

Pada program itu juga seramai 10 golongan asnaf dari Kampung Air Taling dan Kampung Geduhom menerima sumbangan wang tunai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!