Isu jalan rosak, tangani kos sara hidup kebimbangan rakyat di Tanjung Piai
PONTIAN - Isu jalan rosak, kekurangan infrastruktur serta kos sara hidup yang semakin tinggi merupakan antara kebimbangan yang disuarakan oleh masyarakat dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai, yang diharapkan menjadi keutamaan kerajaan.
Tiga isu itu merupakan antara yang sering dibangkitkan oleh penduduk dalam kawasan itu kerana berkait rapat dengan kehidupan dan aktiviti seharian mereka.
Bagi Asiah Mudek, 57, dari Penerok, berikutan kos sara hidup makin meningkat, dia telah pun melibatkan diri dalam pengeluaran kerepek pisang, kuih-muih dan karipap sejuk beku bagi menambah pendapatan keluarga.
“Bagaimanapun mohon pihak terlibat untuk bantu memasarkan produk IKS (industri kecil dan sederhana), produk biasanya ada tetapi mereka yang berpendapatan rendah ini tak tahu cara memasarkan produk mereka,” katanya.
Bagi peniaga jamu dan suri rumah, Zarina Hassim berkata, calon yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai nanti perlulah membantu golongan wanita dalam menjana pendapatan sendiri.
“Kita tak boleh bergantung kepada suami semata-mata. Pertimbangkan beri bantuan perniagaan kecil-kecilan jadi kaum ibu boleh hidup tanpa sokongan sekali gus ada duit kocek sendiri,” kata wanita berusia 44 tahun dari Kampung Parit Buntu, Teluk Kerang itu.
Selain itu, katanya, akses kepada Internet sangat diperlukan bagi membantu memasarkan produk secara dalam talian kerana kos pemasaran menggunakan medium itu lebih murah.
Menyentuh mengenai infrastruktur jalan pula, bagi mereka yang sering berulang-alik antara Johor Bahru-Pontian, mengetahui kebanyakan besar jalan-jalan kampung di sekitar Parlimen Tanjung Piai sering rosak berikutan keadaan geografinya daripada tanah gambut sehingga menyebabkan jalan bergelombang dan cepat rosak.
Pekebun Hasri Salim mengakui jalan-jalan di kampungnya, seringkali rosak akibat struktur tanah gambut menyebabkan sering terjadi kemalangan kecil melibatkan pengguna motosikal dan kereta, malahan kerosakan jalan ditambah dengan lori yang tidak sepatutnya lalu di situ dengan lebihan muatan.
Ini turut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong, yang memberi contoh isu jalan raya yang menjadi penghubung Pekan Nanas-Pontian, kira-kira 10 kilometer yang mendap dan berlubang, seringkali menjadi keluhan rakyat setempat meskipun sudah berulang kali dibaiki.
Menurut beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandang serius perkara itu dan telah pun bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS) dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan & Teknologi JKR (CREaTE) untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang dengan menjalankan kajian terhadap struktur tanah bagi mengatasi isu jalan raya itu.
Tung Siong yang sudah dua penggal menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas berkata, kajian yang dijangka siap bulan ini, diharapkan dapat mencari jawapan kepada isu jalan raya itu, yang dilihat sebagai jalan penghubung utama ke Johor Bahru, Gelang Patah dan Skudai seterusnya ke Singapura yang menjadi sumber rezeki bagi sebilangan penduduk di Pontian dan Pekan Nanas.
Di pihak kerajaan PH, isu-isu sebegini sentiasa dititikberatkan dan tidak hanya mahu bermain dengan sentimen perkauman seperti yang dibangkitkan oleh ‘pihak-pihak’ tertentu. Apa yang penting adalah mencari penyelesaian isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat dan dilihat bermanfaat bukan sahaja jangka pendek tetapi juga untuk keperluan jangka masa panjang.
Timbalan Presiden PH dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mencadangkan lima fokus yang perlu diberi penekanan oleh calon PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini.
Lima fokus yang bakal diberi keutamaan ialah menangani kos sara hidup, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, memperbanyakkan rumah mampu milik serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan, selain menangani isu pencemaran sungai dan alam sekitar.
Bagi Karmaine, 66, penambahbaikan kepada jaringan pengangkutan termasuk penambahbaikan jalan raya serta pertambahan akses baharu seperti jajaran baharu Pekan Nanas-Tanjung Piai serta jambatan Sungai Pulai, akan diberi keutamaan jika beliau diberi amanah sebagai wakil rakyat nanti.
“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baharu yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baharu dari Johor Bahru ke Tanjung Piai dan ambil masa 20 minit.
“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya yang komited untuk meneruskan pembangunan di kawasan Parlimen itu.
Anak kelahiran Peradin itu bagaimanapun mengharapkan masyarakat setempat menyakini keupayaan beliau untuk meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik sebagai wakil rakyat di Parlimen Tanjung Piai.
Dr Md Farid, 43, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas.
Dalam PRK Tanjung Piai, Karmaine menghadapi pertandingan enam penjuru, dengan hari pengundian pada 16 November. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!