Tikam diri selepas rempuh, rampas kenderaan
SYDNEY - AUSTRALIA. Seorang lelaki Australia merempuh kereta peronda polis menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya, merampas sebuah trak pasar raya dan teksi, merempuh beberapa kenderaan lain serta mencederakan pejalan kaki sebelum membunuh diri.
Insiden yang disahkan polis sebagai tidak berkaitan dengan aktiviti pengganas itu berlaku apabila polis cuba menahan suspek kerana kenderaan dipandu tidak mempamerkan nombor pendaftaran.
Lelaki itu bagaimanapun bertindak merempuh kereta peronda polis, meninggalkan kenderaan pacuan empat rodanya sebelum merampas sebuah trak pasar raya dan memandu kenderaan itu sejauh 20 kilometer serta melanggar beberapa kenderaan lain di sepanjang jalan.
Suspek berusia 24 tersebut turut cuba mencuri sebuah kereta lain dan menikam seorang individu yang cuba menghalangnya, sebelum melarikan sebuah teksi.
Polis akhirnya berjaya menahan suspek dan cuba menggunakan alat kejutan elektrik namun suspek bertindak menikam dirinya sendiri di bahagian dada sebelum meninggal dunia di lokasi.
“Suspek tidak berniat mencederakan sesiapa.
“Ia hanyalah tindakan seorang lelaki yang berusaha mengelak daripada ditahan polis," kata Pemangku Asisten Komisioner Mick Fitzgerald.
"Tindakannya menahan individu tidak bersalah pula dipercayai adalah perbuatan seseorang yang mempunyai masalah mental,” katanya.
Menurut Fiztgerald, lelaki berkenaan dikenali pihak polis dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!