KPM agih peruntukan tambahan berdasarkan keperluan, potensi sekolah agama

Maszlee
Maszlee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengagihan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR), sekolah agama persendirian (SAP) dan sekolah agama negeri (SAN) yang berdaftar dibuat berdasarkan keperluan, keutamaan serta potensi untuk sekolah itu berkembang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu dapat membantu kementerian mengoptimumkan penggunaan dana terhad yang diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan dan mengurus sekolah terlibat.

“Sekiranya peruntukan diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berdaftar dengan kementerian dan pihak berkuasa agama negeri berdasarkan enrolment murid yang ada tanpa melihat kepada keperluan sebenar sekolah yang memohon, dikhuatiri jumlah yang bakal diterima tidak signifikan dan tidak bermakna bagi sekolah tertentu.

“Boleh jadi ada sekolah yang besar, mereka ada kepala (murid) yang lebih banyak, kalau kita guna formula per kepala (per head) ini mereka akan dapat peruntukan lebih walaupun sebenarnya keperluan mereka tidak seperti sekolah lain yang kecil tetapi keperluan banyak,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) yang mencadangkan kerajaan menggunakan mekanisme pengagihan bantuan berdasarkan per kepala yang dianggap lebih adil.

Kementerian Kewangan pada 14 Februari lepas meluluskan RM25 juta peruntukan khas tambahan di bawah peruntukan mengurus bagi tujuan penyelenggaraan SAR, SAP dan SAN yang berdaftar dengan kementerian dan pihak berkuasa agama negeri serta melaksanakan kurikulum kebangsaan sahaja.

Menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi mengenai jumlah pengagihan peruntukan yang telah disalurkan, Maszlee berkata, permohonan 78 sekolah berdaftar dengan kementerian telah diluluskan melibatkan peruntukan RM6.294 juta.

Katanya, sebanyak 254 permohonan sekolah yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM14.195 juta.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa ini, kementerian sedang membuat verifikasi permohonan bagi fasa terakhir untuk menyalurkan baki peruntukan kepada sekolah yang layak mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!