Tiga langkah pastikan negara capai matlamat SDG
KUALA LUMPUR - Kementerian Luar menggariskan tiga langkah penglibatan dalam mencapai matlamat Sasaran Pembangunan Mampan (SDG), kata Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifudin berkata, langkah pertama adalah mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan di pelbagai forum antarabangsa di mana Malaysia sudah menjadi ahli dan kedua mempengaruhi proses membuat keputusan di pelbagai forum antarabangsa di mana Malaysia bukan ahli.
Langkah ketiga adalah mengadakan wacana mengenai isu-isu baru bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam apa sahaja isu yang bakal menjadi dasar atau keputusan pertubuhan antarabangsa.
"Sebagai contoh di sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita menjadi ahli jawatankuasa keselamatan, jadi kita telah mengambil topik tertentu dan mengajak negara lain terlibat dan berbincang dalam sidang sampingan," katanya kepada pemberita selepas berucap di sesi pleno Sidang Kemuncak Sasaran Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Walaupun negara tidak menjadi anggota jawatankuasa pertubuhan antarabangsa, penglibatan secara aktif tetap berjalan dengan cara bekerjasama dengan negara yang dilantik menjadi anggota atau jawatankuasa pertubuhan antarabangsa itu.
Beliau mengambil contoh kementeriannya yang telah merancang untuk melibatkan diri dalam perbincangan beberapa isu termasuk isu pelarian Rohingya dengan Vietnam dan Indonesia yang dilantik sebagai anggota jawatankuasa keselamatan pada sidang kemuncak PBB tahun hadapan.
"Selain itu kita akan sentiasa bersedia dengan isu-isu yang bakal menjadi dasar atau perjanjian pertubuhan antarabangsa, sebagai contoh isu mengawal internet yang akan menjadi kenyataan, bila kita lihat adanya isu antara Amerika Syarikat dan China mengenai syarikat telekomunikasi (Telco) Huawei misalnya.
“Kita tahu ia bukan mengenai perang pasaran semata-mata tetapi lebih mengenai mekanisme pengawalan internet, jadi kita tidak mahu nanti jika ada sebarang dasar atau keputusan daripada pertubuhan antarabangsa mengenai isu, Telco kita pula mengalami masalah, jadi penyelesaian ke arah ini sentiasa kita depani," katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Saifuddin menyatakan bahawa unsur asas dasar luar Malaysia kekal tidak berubah.
Katanya, Malaysia akan meneruskan dasar asing yang bebas, berprinsip dan pragmatik, yang berasaskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.
Sidang Kemuncak julung kali ini bertemakan Percepatan Kemajuan pada SDGs: Keseluruhan Pendekatan Negara, bertujuan menyumbangkan idea dan strategi untuk menggerakkan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan ke hadapan dan memperkasakan perkongsian melalui pendekatan seluruh negara dalam mencapai SDG.
Ia dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dan akan berakhir hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!