Selangor akan adakan dialog bersama pengusaha bubble tea
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengadakan sesi dialog bersama pengusaha minuman bubble tea supaya menyokong Kempen Bebas Plastik.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, kerajaan menggalakkan pengusaha terbabit menggunakan bahan alternatif lain.
"Minuman bubble tea ini merupakan satu trend dan bilangan pengusahanya semakin meningkat di Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kajang.
"Jadi kita minta mereka fikirkan bagaimana untuk membantu kerajaan mengurangkan penggunaan plastik pada masa akan datang di samping menjana keuntungan," katanya pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke 14 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama) berhubung perancangan kerajaan negeri terhadap pengusaha bubble tea yang semakin berkembang di negeri ini.
Mengulas mengenai Kempen Bebas Plastik, Loy Sian berkata, penguatkuasaan berhubung perkara itu dilaksanakan di seluruh negeri dan tidak hanya melibatkan premis tertentu.
"Buat masa ini, kita juga belum mengenakan sebarang kompaun dan hanya beri sedikit pengajaran kepada mereka untuk tujuan mendidik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!