APMM, ATB2 rampas rokok seludup di Tawau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Kerjasama strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) membawa kejayaan menerusi rampasan rokok seludup bernilai RM35,000 di perairan 3.3 batu nautika dari Sungai Tawau malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab mengesan sebuah bot laju mencurigakan pada jam 11.40 malam.

"Sebaik menyedari kehadiran peronda APMM, bot suspek bertindak memecut laju bot untuk melarikan diri dan bot APMM mengejar kira-kira lima minit sebelum bot suspek terkandas.

"Dua lelaki dipercayai juragan dan awak-awak bertindak terjun ke laut dan meloloskan diri di kawasan cetek berdekat Kampung Titingan, seterusnya gagal dikesan," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan anggota di dalam bot menemukan kotak-kotak yang berisi rokok putih jenis Premium Gold (900 karton), Surya Gudang Garam (80 karton) dan LA Menthol Light (80 karton).

Katanya, kesemua barang rampasan termasuk bot, enjin bot selain rokok diiring ke Jeti APMM Tawau bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967

"Kesemua rokok berkenaan dipercayai dari negara jiran untuk di jual di daerah ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!