Banjir dengan air pasang besar dijangka landa Kelantan
TUMPAT - Kelantan dijangka banjir pada penghujung November ini berikutan hujan lebat bersama kejadian air pasang besar yang berlaku secara serentak bermula 23 sehingga 26 November.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil langkah bersiap siaga dari semasa ke semasa bagi memastikan persediaan lengkap menghadapi bencana itu.
“Jangkaan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan dan Persediaan Banjir antara agensi Isnin lalu.
“Dalam mesyuarat itu, tarikh 23 sehingga 26 November ini dijangkakan akan banjir di Kelantan dan pihak berkuasa sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menjalankan misi menyelamat mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penutup Kursus Asas Pengendali Bot Enjin Sangkut Peringkat Kontinjen Kelantan Siri 1/2019 di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Sejumlah 49 anggota polis menyertai kursus yang diadakan selama sembilan hari dan diberi sijil kendalian bot.
Hasanuddin berkata, para pegawai dan anggota menjalani latihan fizikal serta mental untuk menghadapi musim banjir kerana menggunakan tenaga untuk menyelamatkan mangsa banjir.
“Lebih 10 bot diperuntukkan dalam menghadapi bencana banjir di Kelantan dan kelengkapan itu akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung pada keperluan.
“Selain usaha menyelamat mangsa, pihak berkuasa juga akan mengadakan pemantauan bagi mengelakkan kejadian jenayah berlaku ketika mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Kadar jenayah ketika musim banjir dua tahun ini juga sedikit,” katanya.
Beliau berkata, dua balai di Tumpat iaitu Kuala Jambu dan Simpangan juga dijangka akan ditenggelami air, namun gerak kerja menyelamat terus berjalan.
“Sejumlah 20 anggota berada di kedua-dua balai ini dan tumpuan akan diberikan untuk memindahkan barang ke kawasan yang tinggi sebelum ditenggelami banjir,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!