ADUN Amanah pertahan Mat Sabu bantu nelayan

FAIZ
FAIZ
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil mempertahankan tindakan Mohamad Sabu berhubung pengumuman bayaran sagu hati kepada nelayan dibuat Menteri Pertahanan itu pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurutnya, walaupun ia bukan di bawah portfolio Mohamad, namun apa yang dilakukan Menteri Pertahanan itu adalah manifestasi sikap beliau yang selama ini berjuang membela nasib rakyat termasuk golongan nelayan yang sudah lama terbelenggu kemiskinan.

"Sikap beliau (Mohamad) ini tidak langsung menjejaskan tanggungjawabnya kepada anggota tentera yang turut dibela di mana veteran tentera memegang Pingat Jasa Malaysia diberikan bayaran sagu hati 'one-off' sebanyak RM500 seperti mana diumumkan dalam Belanjawan 2020," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang terkejut apabila Mohamad bertindak membela nelayan yang bukan di bawah portfolio kementeriannya sewaktu kempen PRK Tanjung Piai baru-baru ini.

Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Amanah itu berkata, kenyataan Hishammuddin itu menunjukkan sikap Ahli Parlimen itu yang tidak sensitif terhadap masalah rakyat.

Menurutnya, kemiskinan hidup golongan nelayan yang kebanyakannya golongan B40 ini memang menjadi perhatian kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (juga) telah menggariskan lima hala tuju dalam usaha mempertingkatkan taraf kehidupan mereka," katanya.

Katanya, walaupun tanpa PRK Tanjung Piai, nasib golongan nelayan terbela di bawah kerajaan PH dengan pelbagai insentif dan subsidi diberikan termasuk elaun sara hidup sebanyak RM250 sebulan bermula Januari 2020, subsidi petrol dan diesel serta insentif pendaratan ikan.

"Selain itu, tindakan Datuk Seri Salahuddin Ayub melawat sebuah sekolah Cina dan memberikan sumbangan tidak boleh dilihat sebagai suapan politik kerana sebagai pejuang rakyat, beliau kini tidak hanya bercakap kosong tetapi melakukan apa yang dikata 'walk the talk' dengan membantu pihak sekolah yang memerlukan sumbangan.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun, sumbangan tersebut atas kapasiti pemimpin kerajaan yang mengangkat agenda kebajikan rakyat sebagai agenda utama kerajaan hari ini," katanya.

Faiz turut menyifatkan kenyataan Hishammuddin yang menyelar kedua-dua menteri itu menunjukkan kerisauannya terhadap prestasi kerajaan PH yang cukup prihatin kebajikan rakyat dengan pelbagai dasar baharu dan pendekatan menteri menyantuni rakyat.

"Menteri-menteri Pakatan Harapan adalah pejuang rakyat yang selama ini cukup cakna denyut nadi rakyat dan kini mereka berpeluang untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Sikap dan pendekatan sebegini yang berpotensi menawan hati rakyat yang menjadi mimpi ngeri buat pemimpin pembangkang yang gagal melaksanakannya sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 'Saya terkejut Menteri Pertahanan nak bela nasib nelayan'- Hishammuddin

Bantuan sagu hati nelayan diberi selepas kempen PRK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!