Muhyiddin cadang wujud pakej rangsangan ekonomi

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan disarankan mewujudkan satu pakej ekonomi rangsangan pada tahun hadapan bagi merancakkan kegiatan ekonomi setempat yang agak lembap ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2020 setelah mengemukakannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi memacu semula ekonomi negara agar kembali kukuh sekaligus membolehkan rakyat kembali berbelanja.

"Dalam keadaan ekonomi agak lambat, kalau rakyat tak belanja banyak ekonomi lagi merudum.

"Kita tahu dahulu waktu ekonomi perlahan, kita suntik sekurang-kurangnya RM2 bilion, paras ekonomi akan naik dua peratus.

"Itu akan menyekat daripada kemerosotan dan saya akan bincang dengan kerajaan," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Operasi calon Pakatan Harapan (PH) di Rambah di sini semalam.

Mengenai perancangan pembangunan Parlimen Tanjung Piai sekiranya kerusi itu dimenangi calon PH, Muhyiddin berkata, pihaknya akan memohon Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk melaksanakan satu pelan pembangunan industri pelancongan di sini.

Menurutnya, Parlimen Tanjung Piai mempunyai pelbagai produk pelancongan berpotensi mencakupi banyak tempat makanan dan lokasi pelancongan menarik.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai perancangan, saya melihat keperluan menggalakkan produk pelancongan inap desa di mana kawasan Tanjung Piai mempunyai banyak inap desa menarik.

"Ini satu tawaran kita untuk bangunkan Tanjung Piai sebagai kawasan dan kita harap kemenangan calon PH akan membantu merealisasikan hasrat itu dengan segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!