TFC sambar khidmat Faris
TERENGGANU FC (TFC) berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli bagi memperkuatkan cabaran kelab berkenaan pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Perkara itu diumumkan TFC dalam satu kenyataan melalui laman sesawang rasmi mereka sekali gus Faris bakal mengisi kuota pemain import ASEAN menggantikan Thierry Chantha Bin yang tidak disambung kontrak.
“Pemain yang baru sahaja menerima Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Singapura dalam FAS Nite 2019 hadir ke Kuala Terengganu telah selesai menandatangani perjanjian kontrak bersama pasukan ini.
“Faris dijangka akan digandingkan bersama dua lagi pemain import TFC iaitu Lee Andrew Tuck dan juga Sanjar Shaakhmedov,” kata kenyataan itu.
Sebagai rekod, sepanjang musim 2019 bersama Hougang United FC, Faris menjaringkan 11 gol dalam 13 penampilan.
Kecemerlangan itu membolehkan pemain berusia 27 tahun itu merangkul anugerah AIA Player of The Season serta terpilih dalam Singapore Premier League (SPL) Team of The Year minggu lalu.
Faris yang sebelum ini pernah beraksi bersama PKNS FC pada 2018 cemerlang membantu kelab Lembah Klang itu menduduki tangga ketiga Liga Super, mara separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!