Medan ujian terbaik Harimau Malaya
PERLAWANAN persahabatan menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok menjadi medan terbaik untuk memilih pemain bagi menghadapi pertembungan dengan Thailand dan Indonesia dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan untuk memberikan peluang kepada pemain simpanan untuk membuktikan kemampuan dalam aksi ujian tersebut.
“Saya rasa saya perlu beri peluang kepada pemain yang dipanggil dan sedang bersama pasukan.
“Tetapi, saya belum buat keputusan siapa yang akan diturunkan, cumanya saya akan turunkan pemain yang cergas.
“Mana-mana pemain yang mungkin tidak cergas atau cedera, saya akan ketepikan dahulu,” katanya kepada wartawan selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan latihan pasukan, Cheng Hoe berpuas hati, namun mengharapkan prestasi pemain dapat ditingkatkan.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati, tetapi pemain kena tingkatkan prestasi bukan hanya dalam perlawanan menentang Tajikistan, tetapi lebih penting iaitu Thailand dan Indonesia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!