Sasar lima terbaik musim depan

Hafizh Syahrin
Hafizh Syahrin
A
A
A

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin yang bakal ‘turun pangkat’ ke kelas Moto2 musim depan sudah pun menetapkan sasaran untuk berada dalam kedudukan kelompok lima terbaik bagi perlumbaan musim 2020 bersama pasukan baharunya yang berpangkalan di Sepanyol, Angel Nieto.

Pelumba berusia 25 tahun itu memasang tekad memberikan persembahan lebih konsisten musim depan dan mencabar dirinya untuk kembali ke saingan MotoGP.

"Harapan sudah pasti untuk lakukan yang terbaik. Saya mahu perbaiki kelemahan dan keputusan saya di Moto2 nanti sekali gus cuba kembali ke MotoGP jika berpeluang.

"Bagi saya Moto2 tidak begitu sukar taktikalnya dari segi jentera, kerana jentera Moto2 tidak banyak elektronik. Banyak guna keupayaan tangan pelumba sendiri. Insya-ALLAH saya beri saingan sengit di Moto2 nanti," katanya pada sidang media Hi-Rev Dream Chaser bersama Hafizh Syahrin.

Hafizh terpaksa kembali ke Moto2 bersama Angel Nieto pada 2020 selepas dua musim di kelas MotoGP disebabkan terpaksa 'bergelut' selepas bertukar kepada jentera KTM.

Beliau akan membuat penampilan terakhirnya dalam kelas MotoGP di Grand Prix Valencia pada 15 hingga 17 November ini bersama Red Bull KTM Tech3 sebelum menguji jentera Angel Nieto, juga di Valencia.

"Perlumbaan terakhir ini beri saya motivasi untuk buat yang terbaik bagi pasukan saya sekarang. Ini juga untuk meningkatkan kembali semangat saya untuk bersama pasukan baharu musim depan. Walaupun agak sedih untuk meninggalkan kelas MotoGP yang banyak beri peluang dan pengalaman bermakna kepada saya, namun saya terpaksa terima," katanya.

Hafizh memulakan kariernya sebagai pelumba 'wildcard' pada 2011 sebelum menjadi pelumba sepenuh masa pada 2014 dalam kelas Moto2 dan berjaya menamatkan perlumbaan sebagai 10 pelumba terbaik dengan beberapa kali menaiki podium pada 2016 dan 2017.

Artikel Berkaitan:

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, muncul pelumba Malaysia pertama bersaing dalam perlumbaan MotoGP pada 2018, apabila menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!