Kualiti MPKK perlu lebih baik berbanding JKKK: Mukhriz

Mukhriz (kiri) bersalaman dengan kepimpinan MPKK dari seluruh negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim hari ini.
Mukhriz (kiri) bersalaman dengan kepimpinan MPKK dari seluruh negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Kedah disaran meningkatkan kualiti pengurusan dan kepimpinan di peringkat kampung agar lebih baik daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun masih baharu, MPKK perlu lebih bersedia dengan perbandingan yang akan dilakukan oleh masyarakat sekitar termasuk orang kampung.

Bagaimanapun menurutnya, maklum balas diterima di seluruh Kedah setakat ini memperlihatkan MPKK keyakinan rakyat terhadap peranan MPKK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan di peringkat akar umbi.

"Perbandingan ini mungkin dilihat sebagai tidak adil apabila yang dahulu (JKKK) sudah berkhidmat sekian lama, faham dan berpengalaman dalam melaksanakan tugas berbanding MPKK, sebab itulah kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama melatih tuan-tuan agar setanding malah lebih baik daripada JKKK.

"Saya yakin, perkara tersebut boleh berlaku dan apabila kita sampai ke satu tahap sekarang, kita perlu lonjak lagi, jadi penambahbaikan diperlukan dari semasa ke semasa dan pihak kami akan adakan lagi banyak kursus dan latihan pada masa hadapan," katanya semasa Majlis Amanat Menteri Besar Bersama MPKK Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim tadi.

Mukhriz berkata, beliau juga menyeru semua kepimpinan MPKK agar memanfaatkan kemudahan teknologi pada hari ini yang mampu digunakan untuk meningkatkan khidmat mutu kepimpinan dalam menyelesaikan masalah rakyat di peringkat kampung.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada lebih 1,000 kepimpinan MPKK dari 1,025 kampung bahawa kerajaan Kedah bertekad mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan.

"Saya berharap agar pihak MPKK tidak memandang remeh akan perkara ini dan sentiasa menggunakan kemudahan dan sumber kewangan yang diluluskan secara berhemat dan berintegriti.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat yang kita pimpin kini lebih maju, maka tuntutan dan ekspektasi mereka terhadap sistem penyampaian juga telah meningkat.

"Sehubungan itu, adalah penting untuk setiap kita semua mengubah dan menganjakkan minda ke arah sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih sempurna," katanya.

Beliau berkata, program turun padang perlu diperhebatkan supaya rakyat Kedah menyedari peranan penting dimainkan MPKK dalam membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!