Empat elemen baharu dilancar perkasa B40: MB Kedah
SUNGAI PETANI - Empat elemen baharu Program Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dilancarkan bagi memperkasakan B40 khususnya golongan belia, wanita dan ibu tunggal.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, program 'empowerNCER@Kedah', 'enterpreneurNCER@Kedah', 'NCER Talent Enhancement Programme (NTEP)' dan Dana Mudahcara Bumiputera dirangka khas bagi menangani jurang kemahiran serta membasmi kemiskinan secara holistik dan inklusif.
Menurutnya, pelancaran itu juga akan memanfaatkan penerima Kasih Ibu Darul Aman (KIDA), penganggur, usahawan mikro serta orang asli meliputi pembangunan modal insan dan keusahawanan.
"Bagi melahirkan komuniti yang berpendapatan tinggi, Program empowerNCER melalui komponen Latihan Kemahiran dan Keusahawanan telah dirangka bagi memberi kemahiran asas dan latihan keusahawanan dalam pelbagai bidang seperti spa dan penjagaan wanita, pendawaian dan membaiki peralatan penghawa dingin.
"Turut disediakan adalah kemahiran membaiki telefon bimbit, jahitan dan reka fesyen, persolekan dan dandanan, bakeri dan lain-lain," katanya ketika melancarkan Program-Program Modal Insan: Menyemarak Kemakmuran Memperkasa Rakyat di Dataran Amanjaya Mall Sungai Petani tadi.
Mukhriz berkata, komponen akademik dalam program empowerNCER pula akan menyediakan kelas bimbingan bagi pelajar lemah akademik yang bakal menduduki peperiksaan bertujuan meningkatkan pencapaian dan pembangunan sahsiah agar mereka dapat mengecapi kecemerlangan serta keluar dari kancah kemiskinan.
"Saya sendiri telah melihat, bila ada makmal komputer dan peralatan robotik, pelajar seronok dan berminat, sekali gus ada inspirasi untuk belajar subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM secara kreatif dan interaktif.
"NCER Talent Enhancement Programme pula untuk memastikan tenaga kerja mahir cukup bagi memenuhi keperluan industri di NCER (Wilayah Ekonomi Koridor Utara).
"Melalui program ini, peserta akan menerima latihan kemahiran kerja hakiki mereka termasuk latihan kemahiran insaniah agar menjadi lebih berdaya saing," katanya.
Dalam masa sama katanya, NCER telah mewujudkan kerjasama strategik dengan Agrobank dan Maybank untuk memberi bantuan dari segi pinjaman pembiayaan kewangan dan khidmat bimbingan kepada usahawan yang hendak mengembangkan perniagaan.
"Bagi usahawan bumiputera, kita bagi sokongan berbentuk kewangan sebagai pemangkin kepada syarikat mereka dalam pelaksanaan projek melalui program Dana Mudahcara Bumiputera," katanya.
Menurutnya, kerajaan peka kepada isu yang membelenggu rakyat, terutamanya kos sara hidup yang tinggi dan sentiasa berikhtiar supaya kemakmuran negara dikongsi secara saksama.
"Hasrat ini diterjemahkan dengan jelas dalam pendekatan Wawasan Kemakmuran iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan dan etnik," katanya.
Beliau berkata, berkat sokongan kerajaan Persekutuan melalui NCIA, kerajaan Kedah telah merangka pelbagai program menyantuni rakyat dan inisiatif susulan yang menjurus ke arah pembangunan menyeluruh bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan, meningkatkan peluang keusahawanan dan menaikkan pendapatan isi rumah.
Beliau dalam masa sama turut menghargai sokongan dan usaha murni Yayasan MyKasih dan Yayasan Petronas yang telah menyumbang kepada ketercapaian dan kejayaan program berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!