'Makanlah, jika tak mampu bayar pun tak apa'

Badrul Jamili menyiapkan roti tempayan yang dipesan pelanggan.
Badrul Jamili menyiapkan roti tempayan yang dipesan pelanggan.
A
A
A

KUANTAN - Pilihlah makanan yang diinginkan, makanlah sepuasnya dan jika tidak mampu bayar makanan itu dianggap sedekah.

Itulah konsep yang dipraktikkan setiap hari di Restoran Dapur Infaq Ummah di Kompleks Dagangan Indera Mahkota bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang menjamu selera di premis itu.

Penggerak Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin, berkata, pelanggan boleh memilih makanan dan membayar seikhlas hati dengan hanya memasukkan duit ke dalam kotak di kaunter bayaran.

Menurutnya, pendekatan itu diambil sejak tiga bulan lalu dengan niat membantu mereka yang kurang berkemampuan seperti pelajar dan golongan asnaf di sekitar kawasan ini.

"Konsep yang kita buat ini bukanlah hendak mencari keuntungan yang besar tetapi untuk membantu masyarakat.

"Kita tidak bimbang rugi kerana yakin ALLAH akan bayar keuntungan itu kerana niat asal adalah untuk berniaga sambil membuat pahala," katanya ketika ditemui Sinar Harian di restoran semalam.

Perniagaan itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Badrul Jamili berkata, menu yang disediakan di restorannya ialah roti tempayan kuah kambing, kari ayam, nasi lemak, pulut, mihun dan pelbagai kuih lain.

Artikel Berkaitan:

Pelanggan memasuki duit ke dalam tabung yang disediakan selepas selesai menjamu selera.
Pelanggan memasuki duit ke dalam tabung yang disediakan selepas selesai menjamu selera.

Peniaga berusia 45 tahun ini juga menganggap pelanggan adalah tetamu yang membawa keberkatan dalam perniagaannya.

“Cara ini juga akan memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk makan dan boleh membuat bayaran mengikut kemampuan,” katanya.

Badrul Jamili memberitahu, wang sumbangan yang diterima di dalam tabung itu dikumpulkan dan akan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan melalui pelbagai cara termasuk menganjurkan program bersama asnaf dan gelandangan bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) setiap minggu.

Bagi pelanggan, Ahmad Zaheruddin Ahmad Sabri,50, memuji tindakan peniaga itu yang berani menanggung risiko dengan mementingkan ibadah sedekah.

"Saya lihat perniagaan ini lebih kepada sedekah jariah dan makanan di sini sedap..kalau ada duit lebih tidak salah kalau kita makan sambil bersedekah.

"Setiap infak yang dilakukan pasti akan mendapat ganjaran baik bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!