Rokok, arak seludup bernilai RM12.41 juta dirampas
SEREMBAN - Sebanyak lebih 1.9 juta liter minuman keras pelbagai jenama dan 10.32 juta batang rokok bernilai RM12.41 juta yang diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, rampasan berkenaan dilakukan dalam Ops Jaring bermula April lalu oleh Unit Siasatan Dalaman (USD) Kastam disertai Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) yang berjaya melumpuhkan aktiviti penyeludupan rentas sempadan melalui Pelabuhan Klang.
"Operasi ini berjaya mengesan dan menyita 1,968,654 liter minuman keras dengan anggaran nilai sebanyak RM11.4 juta dan cukai atau duti sebanyak RM54.96 juta di dalam dua buah gudang di Pelabuhan Klang.
"Hasil risikan dan analisa melalui kaedah 'intelligence driven' ke atas dokumen-dokumen pengimportan, Kastam berjaya mengesan modus operandi penyeludupan tersebut," katanya pada sidang akhbar pelupusan barang-barang lucuthak Kastam minuman keras di sebuah pusat pelupusan sisa di Mambau, Seremban di sini hari ini.
Paddy berkata, beberapa buah syarikat yang juga merupakan pemilik Lesen Import telah digunakan untuk melakukan aktiviti penyeludupan di pelabuhan dengan menjadikan gudang di dalam pelabuhan sebagai stor penyimpanan sementara sebelum diseludup masuk ke dalam negara.
"Melalui serbuan yang dibuat, beberapa individu dan syarikat yang disyaki terlibat dalam penyeludupan minuman telah disiasat kastam.
"Siasatan yang dijalankan turut menjurus kepada beberapa anggota jabatan yang disyaki terlibat dengan modus operandi tersebut.
"Kes masih disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.
Dalam pada itu, Paddy berkata, pihaknya turut berjaya menghalang cubaan penyeludupan rokok rentas sempadan dengan penahanan sebuah kontena berisi rokok di Pelabuhan Klang semalam.
"Pemeriksaan ke atas Borang Kastam 1 (Import) menunjukkan dagangan dalam sebuah kontena tersebut diikrar sebagai skirt wanita, pakaian wanita, rompi namun isi kandungan fizikal dagangan adalah berbeza.
"Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran Borang Kastam 1 (Import) yang tidak benar dari segi butiran dagangan yang melibatkan 10.32 juta barang rokok yang dianggarkan bernilai RM1.01 juta dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM6.91 juta.
"Dua lelaki berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki menguruskan pengikraran dagangan dalam kontena tersebut bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!