KSSB Consult tawar khidmat konsultasi aktiviti perlombongan

Pemantauan Kualiti Udara di sekitar tapak operasi.
Pemantauan Kualiti Udara di sekitar tapak operasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengambil peluang untuk menambah perolehan pendapatannya dengan menawarkan perkhidmatan konsultasi berkaitan aktiviti perlombongan.

Menerusi perkhidmatan itu, KSSB menubuhkan anak syarikat baharu dikenali sebagai KSSB Consult Sdn Bhd (KSSB Consult) yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 pada 11 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Perhubungan Teknikal KSSB, Muhammad Faiz Zainuddin berkata, cetusan idea untuk penubuhan KSSB Consult adalah rentetan daripada kesukaran dihadapi pihaknya sebelum ini dalam menyediakan kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Operasi Skim Perlombongan (OMS) untuk penilaian Jabatan-jabatan Teknikal.

Muhammad Faiz pada sesi wawancara bersama Sinar Harian. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Muhammad Faiz pada sesi wawancara bersama Sinar Harian. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

“Sebelum sebarang aktiviti perlombongan dijalankan, kami perlu serahkan kajian EIA dan OMS ini kepada Jabatan Teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penilaian dalam bidang kuasa agensi masing-masing.

“Bagi penyediaan laporan kajian ini, kami pada mulanya terpaksa mengupah konsultan luar dan mengeluarkan belanja yang besar.

“Malah, tempoh masa yang diambil bagi penyediaan laporan kajian EIA dan OMS juga memakan masa antara enam bulan sehingga dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Faiz berkata, lebih merumitkan, konsultan yang diupah oleh KSSB sebelum ini tidak memainkan peranan dengan sebaiknya dalam penyediaan laporan kajian EIA dan OMS.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia dapat dilihat dengan jelas apabila konsultan dilantik sebelum ini gagal mempertahankan laporan kajian mereka ketika dibentangkan kepada Jabatan-jabatan Teknikal terlibat.

“Konsultan hanya mempunyai pengetahuan dalam menyediakan laporan namun mereka tidak berada di lapangan untuk mengetahui situasi sebenar di sana.

“Justeru, kami di KSSB mula berfikir mengapa perlu kami mengeluarkan kos yang mahal kepada konsultan ini sedangkan mereka sendiri gagal membentangkan dan mempertahankan laporan yang dibawa ke Jabatan-jabatan teknikal ini,” katanya.

Oleh sebab demikian, Muhammad Faiz berkata satu cadangan telah dibawa ke peringkat atasan bagi membolehkan penyediaan laporan EIA dan OMS tersebut dijalankan sendiri oleh kakitangan KSSB yang turut berkemahiran dan berkelayakan.

Beliau berkata, khidmat penyediaan laporan tersebut dapat ditawarkan kepada pihak lain dan memberikan pulangan pendapatan kepada KSSB.

“Maka atas dasar itu, KSSB Consult ditubuhkan selaras bagi menambahkan perkhidmatan kami di samping mengurangkan kos yang dikeluarkan kepada konsultan luar sebelum ini.

“KSSB Consult dapat memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada kami yang sebelum ini hanya memfokuskan kepada aktiviti perlombongan dan cuci gali pasir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perundangan KSSB Consult, Dazrin Darbi berkata, penubuhan anak syarikat baharu itu dapat menjadi model terbaik dalam penyampaian perkhidmatan konsultasi melibatkan aktiviti perlombongan.

Dazrin ketika bercakap dalam wawancara khas bersama Sinar Harian. - FOTO MOHD IZARI ROSLI
Dazrin ketika bercakap dalam wawancara khas bersama Sinar Harian. - FOTO MOHD IZARI ROSLI

Beliau berkata, sebelum ini tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) atau piawaian ditetapkan, cuma yang ada hanyalah amalan dan prosedur yang berdasarkan aktiviti-aktiviti perlombongan dan pengorekan sungai yang sedia ada.

“Walaupun terdapat akta, tetapi apa yang kita laksanakan adalah amalan praktis sebenar yang sepatutnya diguna pakai (dalam perkhidmatan pengurusan dan konsultasi perlombongan),” katanya.

Selain itu, Dazrin berkata, KSSB Consult juga akan memainkan peranan dalam beberapa aktiviti komersial lain melibatkan penyediaan dokumen, borang permohonan, kajian, pelan, spesifikasi, laporan dan kertas cadangan.

Menurutnya, kajian impak yang dilaksanakan oleh KSSB Consult turut mengambil kira aspek alam persekitaran melibatkan flora dan fauna bagi mengenal pasti sama ada terdapat spesies tumbuhan atau haiwan yang dikategorikan sebagai hampir pupus.

“Kita juga mengkaji kesan sebarang aktiviti yang dijalankan terhadap penduduk asal di sesuatu kawasan dalam penyediaan laporan ini.

Aktiviti eksplorasi bahan batuan dan mineral.
Aktiviti eksplorasi bahan batuan dan mineral.

“Sebarang bentuk aktiviti perlombongan mahupun pembinaan semestinya akan memberi kesan kepada persekitaran dan komuniti, tapi apa yang penting adalah bagaimana kita mengawalnya dan menguruskan risiko yang telah dikenal pasti daripada berlaku.

“Semua ini akan dimasukkan dalam laporan kajian impak supaya apabila pemantauan dibuat, kita memiliki satu sumber rujukan yang boleh dijadikan panduan kepada pemaju atau pelombong,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!