Irfan perkukuh benteng pertahanan skuad B-22
KETUA jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee percaya kehadiran pemain pertahanan tengah Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria bakal memperkuatkan lagi barisan pertahanan skuad berkenaan pada Sukan SEA Filipina yang bermula penghujung bulan ini.
Pengendali berusia 48 tahun itu yakin pengalaman yang dimiliki pemain berusia 24 tahun itu dapat membantu skuad muda negara meraih keputusan positif pada Sukan SEA nanti.
"Saya memilih Irfan kerana beliau sudah lama bersama pasukan Bawah 23 tahun sebelum ini, di mana sebahagian pemain sedia ada pernah bermain bersama Irfan.
"Dengan kehadiran Irfan, saya percaya ia akan mengukuhkan lagi benteng pertahanan kita, selain daripada kita mempunyai Dominic Tan, Shahrul Nizam, R Dinesh, Amirul Arif dan ini dapat membantu terutamanya dari segi pengalaman Irfan bermain di peringkat yang tinggi," jelas Kim Swee ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad B-22 kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini malam tadi.
Ditanya mengenai seorang lagi pemain lebih umur, Kim Swee memaklumkan ia akan diputuskan selepas dua aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 melibatkan skuad Harimau Malaya dengan Thailand dan Indonesia, masing-masing pada 14 dan 19 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jelasnya, posisi untuk seorang lagi pemain lebih umur bergantung kepada keperluan sekiranya mana-mana pemain utama yang dipanggil kali ini mengalami kecederaan.
Pada masa sama, Kim Swee menegaskan tiada jaminan tempat dalam kesebelasan utama dan kesemua 28 pemain dipanggil pada kali ini, termasuk lima pemain skuad B-18 negara perlu mempamerkan prestasi terbaik pada sesi latihan kali ini.
Lima pemain berkenaan dijangka melapor diri kepada Kim Swee pada 13 November ini selepas membantu skuad B-18 negara mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 2020 di Phnom Penh, Kemboja yang sedang berlangsung ketika ini.
Dalam pada itu, Kim Swee mendedahkan skuad B-22 kebangsaan bakal diuji dengan sebuah pasukan luar negara yang akan ditentukan kemudian dan perlawanan berkenaan merupakan aksi tambahan memandangkan skuad berkenaan sebelum itu bakal berhadapan dengan sebuah pasukan tempatan yang juga masih belum ditentukan pada minggu depan.
Sementara itu, Muhammad Irfan menyasarkan untuk membantu skuad muda negara meraih pingat emas di Manila setelah sekadar memenangi perak dalam penampilan sulung pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.
Anak jati Kuala Lumpur itu berharap pengalaman luas beraksi di bawah Kim Swee sebelum ini dapat diterjemahkan dengan kejayaan cemerlang pada Sukan SEA nanti.
"Panggilan kali ini merupakan satu penghargaan daripada jurulatih kepada saya dan saya akan gunakan peluang ini untuk berikan yang terbaik kepada pasukan ini.
"Bagi saya, tidak rasa tertekan atau bebanan kerana kita semua tahu pemain-pemain muda sekarang sedang meningkat naik, jadi dalam padang, tiada istilah senior atau junior kerana kita semua sama sahaja," jelasnya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, bakal memulakan kempen menentang Myanmar pada 25 November; Filipina (29 November), Timor-Leste (2 Disember), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember.
Kesemua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.
Juara bertahan, Thailand pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei dan kesemua perlawanan berkenaan akan diadakan di Stadium Binan, Laguna.
Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik dari Kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijangka berlangsung pada 7 Disember ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!