12 kenderaan rosak akibat ribut
JOHOR BAHRU - Sebanyak 12 kenderaan rosak selepas bumbung tempat meletak kenderaan di pangsapuri The Twin Residences Taman Seroja di sini runtuh akibat ribut pagi tadi.
Menurut penduduk, S Kunasegaran, 36, kejadian itu juga dipercayai berlaku selepas hujan lebat dan angin kencang yang berterusan sejak awal pagi.
“Ketika hujan lebat kira-kira jam 9 pagi saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat.
“Saya kemudian pergi ke tempat letak kereta melihat bumbung parkir sudah runtuh dan menghempap lebih 10 kenderaan di bawahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kunasegaran yang juga seorang jurutera bagaimanapun lega apabila kejadian itu tidak melibatkan kenderaannya yang hanya berada kira-kira 0.5 meter daripada bumbung runtuh itu.
Katanya, selepas kejadian itu, dia kemudiannya mengambil gambar keadaan bumbung terbabit dan menghebahkannya dalam kumpulan WhatApp penduduk.
“Sejak tinggal di sini bermula 2016 lalu, saya rasa ini kejadian pertama yang berlaku,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!