AirAsia ambil alih laluan KK-Sibu, KK-Bintulu
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kontrak dengan MASwings, pengendali laluan itu ketika ini, yang sepatutnya berakhir pada 2024, akan ditamatkan dan ini akan membantu kerajaan memperoleh penjimatan antara RM10 juta dan RM20 juta bagi kedua-dua laluan itu bermula 2020 dan seterusnya.
"Kita berharap (langkah ini dapat) mengurangkan subsidi kerajaan pada masa yang sama dapat mengurangkan kadar (harga tiket penerbangan) dan menambahkan kapasiti penerbangan untuk kedua-dua sektor itu," katanya kepada pemberita pada majlis anjuran AirAsia untuk mengumumkan penerbangan lewat malam tambahan bagi sambutan Tahun Baru Cina yang akan datang, di sini, hari ini.
Laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu merupakan antara lebih 30 laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak yang dikendalikan oleh MASwings dan mendapat subsidi daripada kerajaan kerana ia dianggap sebagai tidak berdaya maju dari segi komersial.
Loke berkata Belanjawan 2019 mencadangkan peruntukan RM230 juta harga siling bagi subsidi RAS yang termasuk pampasan bagi MASwings berbanding bil subsidi RM190 juta tahun ini.
Beliau berkata pengkomersialan laluan itu akan membantu kerajaan mengurangkan secara beransur-ansur harga siling subsidi bermula dari 2020 dan seterusnya.
Sebelum ini kerajaan telah mengkomersialkan enam laluan RAS, iaitu KK-Tawau, KK-Sandakan, KK-Miri, Kuching-Sibu, Kuching-Bintulu, dan Kuching-Miri.
"Sekiranya MASwings mahu meneruskan penerbangan bagi laluan ini, mereka tiada masalah untuk terus beroperasi tetapi tidak akan dapat subsidi.
"Mereka (AirAsia dan MASwings) boleh bersaing secara sama rata (tanpa subsidi),” katanya.
Loke berkata Perjanjian Operasi baharu antara kerajaan dan AirAsia akan dimeterai pada akhir tahun ini bagi memuktamadkan perjanjian itu yang termasuk jumlah pampasan bagi MASwings.
Menurutnya, AirAsia akan diberi kontrak enam tahun berakhir pada 2024 untuk mengendalikan laluan KK-Sibu dan KK-Bintulu.
Sementara itu, AirAsia akan menambah penerbangan lewat malam bagi menampung permintaan di laluan popular semasa tempoh perayaan Tahun Baru Cina antara 30 Jan dan 12 Feb, 2019.
Laluan ini termasuklah ke dan dari Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.
Syarikat penerbangan itu menawarkan tambang rendah tetap RM99 bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, RM149 dari Kuala Lumpur keMiri, Sibu dan Kuching, dan RM199 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!