Terminal Feri Kukup dibuka semula hasil protes kami: Pemandu teksi
PONTIAN - Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian mendakwa keputusan pembukaan Terminal Feri Antarabangsa Kukup di sini secara tergesa-gesa adalah hasil tindakan protes terhadap kerajaan Johor baru-baru ini.
Timbalan Yang Dipertua persatuan itu, Mahmud Johari,65, berkata, pihaknya percaya kerajaan Johor mungkin tidak akan bertindak segera sekiranya tiada aduan dikemukakan kepada media.
Menurutnya, persatuan terdiri lebih 75 pemandu teksi dan kereta sewa seluruh daerah Pontian itu mengharapkan kerajaan mengekalkan pembukaan terminal itu yang ditutup sementara sejak dua bulan lalu.
"Harapan saya pemandu teksi memang nak minta benda ini (Terminal Feri Antarabangsa) kekal.
"Kalau tak kerana pilihan raya mungkin tak buka lagi. Jadi bila ada pilihan raya mungkin kerajaan nak buka ia bagi nak elak adanya kelemahan," katanya kepada media di sini hari ini.
Mahmud berkata, pembukaan terminal itu pastinya menarik nafas lega pihak pemandu teksi yang tidak lupa berterima kasih terhadap usaha kerajaan Johor.
Bagaimanapun beliau menegaskan terdapat beberapa perkara sepatutnya diambil kira kerajaan bagi membela nasib pemandu teksi daerah Pontian.
"Tetapi buat masa ni nampak macam tak terbela..contoh baru-baru ini kerajaan menetapkan bagi memperbaharui lesen PSV akan dikenakan caj tambahan.
"Saya pun pelik di pihak kerajaan bila hendak buat tindakan tidak mahu bertanding dengan kami.
"Tetapi apabila berlaku (protes), barulah hendak balik... Saya pun tidak pasti kalau lepas PRK ianya (terminal) akan terus beroperasi," katanya.
Terdahulu operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dihentikan sementara pada 1 September lepas dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri.
Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Bagaimanapun pada 1 November lalu terminal berkenaan dijadualkan dibuka 6 November namun terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibuka semula semalam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penyertaan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffur,45, mewakili Gabungan Pemandu Teksi Se-Malaysia (GPSM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah manifestasi bantahan golongan pemandu teksi terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Seorang pemandu teksi, Tan Ah Tee,70, berkata, kehidupan lebih 70 pemandu teksi di sini semakin terjejas susulan tindakan penutupan sementara Terminal Feri Antarabangsa Kukup sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!