Kerajaan tidak akan teruskan kontrak konsesi Pharmaniaga
SHAH ALAM - Kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak meneruskan kontrak konsesi pembekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan syarikat Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (Pharmaniaga) yang akan berakhir pada 30 November ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu telah dipersetujui selepas pihaknya di Kementerian Kesihatan (KKM) membentangkan perkara tersebut di Kabinet hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama kerajaan juga bersetuju memperkenalkan sistem tender terbuka kepada pembida lain untuk perolehan ubat-ubatan itu.
"Kabinet juga memutuskan memberi tempoh interim selama 25 bulan sehingga Disember 2021 kepada KKM untuk membuat persiapan dalam konteks kemampuan agar dapat mengendalikan sendiri semua perkara yang dilakukan oleh Pharmaniaga sebelum ini.
"Ia termasuk pengendalian sistem maklumat untuk menjalankan tender terbuka. Jika KKM berupaya membina atau menyediakan perkara itu lebih awal dari tempoh tersebut, mekanisme tender terbuka boleh dilaksanakan lebih cepat," katanya pada sidang akbar khas secara langsung di Facebook kementerian itu hari ini.
Katanya, itu melibatkan dari segi perolehan perubatan yang pernah dikendalikan Pharmaniaga yang dikatakan mempunyai konsesi monopoli.
Sebelum ini, KKM memberitahu kontrak Pharmaniaga akan berakhir dan pihaknya tidak akan menggunakan syarikat konsesi bagi membekalkan logistik dan pengedaran bekalan ubat-ubatan.
Bagaimanapun katanya, dari sudut pengurusan pengedaran logistik dan ubat-ubatan, kerajaan membuat pendirian untuk memberikan kontrak lima tahun kepada syarikat terbabit berdasarkan prestasi keupayaan yang dibina syarikat itu sehingga kini.
"Ia bertujuan mengekalkan bekalan ubat-ubatan tanpa ada gangguan dalam rantaian pembekalan.
"Bagaimanapun selepas tempoh lima tahun, ia bergantung kepada kerajaan sama ada akan beri kepada tender terbuka atau sebaliknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!