Memilih kerja?

A
A
A

MEMANDANGKAN ini ruangan Tukang Cerita, ada cerita saya hendak kongsikan juga.

Cerita lama tidak lama tetapi masih terpahat di ingatan saya. Saya teringat, pada tahun 1990-an secara amnya, tidak ingat tahun sebenar, kalau tidak silap ketika itu saya baru tamat belajar.

Setelah tamat belajar, menjadi rutin ketika itu tiap-tiap hari membeli surat khabar. Objektif utama hendak mencari kerja kosong dan seperti biasa, banyak permohonan saya hantar menggunakan pos biasa sahaja.

Sekeping resume dan beberapa helai kertas sokongan berupa sijil-sijil biasa disertakan sekali. Ketika itu, banyak kerja yang ditawarkan. Daripada sebesar-besar iklan penuh muka sehingga sekecil-kecilnya dalam ruangan klasifikasi.

Tiga bulan pertama memang mencabar juga, tidak adapun majikan yang memanggil untuk temuduga. Mungkin resume saya tidak menarik perhatian majikan agaknya. Lagipun masih belum ada pengalaman lagi.

Memandangkan tidak ada kerja setelah tiga bulan bergraduasi, saya beralih kepada iklan kecil-kecil pula. Bermacam-macam kerja yang ada di ruangan iklan klasifikasi. Banyak yang perlukan pekerja, mungkin seperti apa yang dikatakan oleh Pak Menteri Sumber Manusia, mungkin ada 600,000 peluang kerja pada masa itu.

Iklan yang menarik perhatian saya ialah tawaran jawatan juruteknik komputer. Walaupun saya bukanlah jurusan Komputer Sains, tetapi semasa itu sudah pandai juga membaiki komputer.

Semasa belajar dahulu, ramai pelajar membeli komputer klon sahaja. Kemudian memasangnya dan install operasinya sendiri sahaja. Komputer bajet dan harga pun murah.

Artikel Berkaitan:

Saya hanya menelefon syarikat tersebut untuk membuat janji temu. Temuduga bertempat di Subang Jaya. Saya sampai awal juga dari waktu yang dijanjikan iaitu pada jam 9 pagi. Saya tidak menjangka ramai yang datang ke temuduga itu, lebih kurang 20 orang.

Saya sempat berbual-bual dengan calon-calon temuduga di situ. Ratanya-ratanya adalah lulusan universiti. Ada lulusan ijazah dan ada juga diploma. Sengit juga nampaknya. Entah berapa orang pula yang hendak diisi.

Berjaya

Dipendekkan cerita. Saya berjaya. Maka dengan sukacitanya saya diarahkan untuk terus bekerja keesokan harinya. Pucuk dicita, ulam mendatang, tanpa membuang masa saya pun terus ke Subang Parade untuk membeli baju dan seluar kerja yang baharu pula.

“Encik tunggu dulu ya. Nanti jumpa bos,” kata penyambut tetamu setelah saya hadir untuk melaporkan diri pada hari pertama. Selain saya, ada tiga orang lagi yang hadir juga untuk melapor diri.

Lebih kurang 15 minit kemudian, kami dipanggil masuk ke bilik mesyuarat kecil. Kelihatan ada dua orang lagi lelaki yang sedang menunggu sambil tersenyum. Tanpa melengahkan masa, seorang lelaki memberitahu saya dan tiga orang yang lain lagi,

“Kamu semua, ikut Encik Tan ya. Dia akan bawa kamu ke Cawangan Puchong. Nanti Encik Tan akan beritahu apa yang kamu perlu buat.”

Kami bertiga mengangguk-angguk sahaja. Encik Tan membawa kami menaiki van ke Puchong. Kami akan bekerja di sana katanya. Pelanggan kami ramai di sana katanya lagi. Sekali lagi kami mengangguk-angguk sahaja.

Tiba sahaja di kawasan yang dituju, Encik Tan terus mengeluarkan sebuah kotak besar dari belakang van. Dalam kotak yang besar itu, ada kotak-kotak kecil pula. Kotak-kotak kecil itu ada kek di dalamnya. Encik Tan sambil tersenyum lebar, mengagihkan pula kotak kek kecil itu kepada kami bertiga.

Kami bertiga tercengang menerimanya. “Ikut saya," kata Encik Tan.

Sampai di sebuah pejabat, Encik Tan menekan loceng. Dia terus menggunakan kemahiran menjualnya memujuk pelanggan membeli kek tersebut. Rupa-rupanya kami bukan menjadi juruteknik komputer tetapi menjadi jurujual kek.

Saya bertahan untuk sebulan juga menjual kek. Dua orang lagi sudah tidak datang lagi bekerja pada hari kedua. Menjual kek hanya dapat komisen walaupun dalam iklan sebelum ini ditawarkan gaji RM1,100 bagi jawatan juruteknik komputer.

Ketika saya makan tengah hari bersama, Encik Tan memberitahu, banyak iklan yang ada tipu sahaja. Kata ada kerja tapi kerja lain pula diberi. Kata Encik Tan lagi, dia mempunyai Ijazah Kejuruteraan Kimia dan sudah setahun bekerja sebagai jurujual kek itu.

Memang betul kata Pak Menteri Sumber Manusia kita agaknya, Malaysia ada 600,000 kerja kosong yang tidak diisi.

Kata Pak Menteri lagi rata-ratanya memilih kerja pula. Saya terfikir juga tentang Encik Tan sekarang, sama ada dia sudah menjadi jurutera atau masih menjual kek.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!