Siapa PM selepas Tun M
*SEHARI dua ini perihal siapa bakal menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri mencetuskan polemik dan kontroversi.
Ada yang mencadangkan supaya Tun M terus kekal di kerusi No.1 itu untuk tempoh satu penggal, sehingga pilihan raya umum akan datang.
Ada yang kata Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan tersebut secepat mungkin. Ada juga yang kata Datuk Seri Azmin Ali lebih sesuai untuk jawatan tersebut.
Malah, ada juga kebimbangan bahawa Anwar mungkin sekali lagi terlepas jawatan tersebut kerana ada pihak yang cuba menghalang.
Polemik, kontroversi dan semua soksek-soksek itu membuktikan bahawa semua orang mengidam menjadi perdana menteri...
*SEPATUTNYA isu siapa pengganti Tun M tidak perlu disebut langsung buat masa ini, apa lagi digembar-gemburkan sehingga menggoncang parti dan kerajaan.
Hakikatnya ialah persetujuan dalam kalangan parti-parti komponen PH memang telah dicapai dan sepakati sejak awal bahawa Tun M menjadi perdana menteri hanya untuk sementara. Telah juga disepakati oleh semua – Bersatu, PKR, DAP, Amanah – bahawa orang yang akan menggantikan Tun M sebagai perdana menteri ialah Anwar.
Kalau telah dijanjikan dan dipersetujui sejak awal, kenapa pula kecoh bagai nak rak mengenai siapa selepas Tun M? Lagi pun kerajaan PH baru berusia enam bulan, banyak perkara untuk rakyat yang perlu dilakukan. Semua sepatutnya bekerja keras untuk melunaskan janji.
Banyak lagi perkara tidak beres, kenapa hendak heboh-heboh siapa bakal pengganti Tun M. Itu bukan keutamaan rakyat sekarang. Lagi pun semua orang tahu Tun M bukan jenis mungkir janji. Maka jangan berspekulasi yang bukan-bukan!
*TIDAK ada siapa pun yang kebal di sisi undang-undang. Siapa sahaja yang melanggar undang-undang akan diadili secara undang-undang.
Kata Perdana Menteri, kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua orang, daripada raja-raja sehinggalah kepada perdana menteri dan menteri-menteri, kepada penjawat awam serta rakyat biasa.
Tambah beliau, bagi raja-raja terdapat mahkamah khas tetapi undang-undangnya adalah sama seperti undang-undang yang terpakai bagi rakyat biasa.
Pendek kata dalam amalan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan, di sisi undang-undang setiap orang adalah sama, semua mesti menghormati undang-undang.
*ADA tular di media sosial sehari dua ini bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dikatakan mahu melepaskan takhta.
Maka rakyat jelata pun bertanya sama sendiri kerana cakna terhadap kesihatan DYMM yang sebelum ini mengambil cuti selama dua bulan atas alasan rawatan kesihatan. Orang ramai ingin tahu apakah baginda telah menerima rawatan terbaik sepanjang percutian.
Kerajaan negeri Kelantan telah menafikan dan menyifatkan apa yang ditularkan itu adalah berita palsu dan meminta pihak berkuasa bertindak ke atas penyebar kepalsuan itu.
Tun M pula berkata setahu beliau baginda sudah kembali bertugas. Tidak timbul isu melepaskan takhta. “Saya pun ada dengar khabar angin itu,” kata Perdana Menteri sambil menegaskan beliau tidak menerima apa-apa maklumat rasmi berhubung khabar angin berkenaan.
Maka tidak perlulah rakyat jelata bermuram durja, Insya-Allah Yang di-Pertuan Agong sihat-sihat sahaja.
*BERCAKAP mengenai undang-undang, apabila ada undang-undang, maka ada sahaja pihak hendak melanggar undang-undang. Seperti dijangka ada yang tidak mematuhi larangan merokok di tempat makan yang mula dikuatkuasakan awal tahun baharu 2019.
Pada hari kedua tahun baharu sebanyak 1,453 amaran bertulis dikeluarkan dan 3,879 nasihat diberikan kepada individu yang melanggar arahan.
Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk tempoh enam bulan ini tidak ada kompaun dikeluarkan, hanya keluarkan amaran bertulis. Harap-harap dalam tempoh percubaan ini perokok belajar menghormati orang yang tidak merokok, dan mengawal nafsu asap mereka di tempat-tempat seperti itu.
Harap-harap juga selepas tempoh percubaan ini pihak berkuasa akan betul-betul bertindak tegas kepada perokok yang degil – termasuk yang menampar seorang pekerja restoran kerana melarang pelanggan merokok.
Sekiranya selepas enam bulan pun tidak ada tindakan, maka zon bebas asap kita akan menjadi satu lagi cakap kosong dan acah-acah tahi ayam.
*AKHIR kalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengingatkan kakitangan awam wanita, terutama yang berkhidmat di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu supaya tidak berpakaian ketat, berwangian dan berhiasan melampau.
Katanya, pematuhan kepada aspek pemakaian yang selari dengan garis panduan Islam adalah sebahagian ciri-ciri profesionalisme atau ‘ihtirafi’ yang menekankan kepada akhlak dan integriti. Bersetuju benarlah saya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!