Cali, Halus tersingkir dari MLM2019
DUA peserta daripada Brunei iaitu Cali dan Halus, tersingkir daripada program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) yang diadakan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam, malam tadi.
Pada persembahan minggu kedua yang bertemakan bebas itu, Cali yang terdiri daripada gabungan Tonny dan Khai, manakala Halus yang merupakan gandingan Filzah (Awok) bersama Farid Azmer berada di tempat empat terendah bersama Popon (peserta dari Indonesia) dan Rojak (Bell, Rahim dan Chewan).
Cali sebelum itu turut diumumkan sebagai pemenang 'Oppo Punchline Machine' menerusi undian penonton tertinggi bagi minggu kedua berturut-turut, manakala J-Born mengekalkan momentum mereka apabila sekali lagi membawa pulang anugerah 'Flamintoz Kumpulan Paling Syok!' berdasarkan markah tertinggi oleh juri.
Kemenangan itu melayakkan J-Born yang dianggotai oleh Khir Rahman, Joey dan Vicha membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.
Dengan penyingkiran Cali dan Halus, 12 peserta yang akan meneruskan perjuangan ke minggu ketiga adalah Bocey, Jambus, J-Born, Onxon, Popon, Puteh, Rahmet, Rare, Rojak, Smart, Stone dan Zero.
MLM menggabungkan pelawak daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, bersama-sama berentap untuk merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500,000.
Program dikendalikan Datuk AC Mizal, manakala penyanyi dangdut dari Indonesia, Inul Daratista bersama Datuk Jamal Abdillah, Lisa Surihani serta pengacara dari Singapura, Najib Ali selaku juri tetap.
MLM2019 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124) sejak 1 November lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!