Sekolah tahfiz diarahkan tutup serta-merta
KUANTAN - Sebuah sekolah tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Temerloh dekat sini diarahkan tutup serta-merta pada hari ini selepas seorang muridnya meninggal dunia dengan kesan lebam, semalam.
Timbalan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahib Wan Hassan berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas mendapat semakan mendapat sekolah tahfiz itu tidak berdaftar dengan pihak Majlis.
Menurutnya, sekolah tahfiz itu juga tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan bagi tujuan pendaftaran sekolah terbabit sebelum ia beroperasi awal Januari lalu.
"Saya sudah tandatangan surat perintah tutup serta-merta berikutan hasil semakan kita dapati (pusat) tahfiz ini memang tak pernah mohon.
"Disebabkan banyak lagi hal lain yang gagal dibereskan (selesaikan) jadi saya keluarkan arahan tutup, malah saya juga dapati pengusaha bukan tidak tahu undang-undang, sedangkan perlu minta kebenaran untuk beroperasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam, seorang murid tahfiz berusia 7 tahun yang baru mendaftar masuk pada Oktober lalu disahkan meninggal dunia dengan kesan lebam pada badan.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul
Wan Abdul Wahib berkata, berdasarkan rekod sekolah tahfiz itu mempunyai 14 pelajar berumur 7 hingga 14 tahun dengan seorang tenaga pengajar.
Beliau berkata, pelantikan guru juga diragui sama ada mempunyai kelayakan mengajar atau sebaliknya.
"Kita tidak tahu guru ini ada sijil kebolehan tahfiz atau tidak, kalau tiada kelayakan kita tidak akan bagi kelayakan mendaftar.
"Biasanya guru hafaz al-Quran daripada tahfiz muda cuma tak semua layak menjadi tenaga pengajar, apatahlah lagi hendak menjalankan dan mengurus tahfiz sebab itu kami kaji betul-betul perkara ini," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Muip amat bertegas dalam isu sekolah tahfiz yang perlu mendapatkan kelulusan daripada pelbagai agensi sebelum memulakan sesi persekolahan.
Menurutnya, isu keselamatan premis menjadi keutamaan sebelum pihak Muip memberikan kelulusan selain melihat sukatan mata pelajaran dan silibus.
"Sebab itu, kami amat bertegas dalam perkara ini bagi memandang banyak kejadian seperti kebakaran dan kes lain berlaku di sekolah tahfiz, namun kita bersyukur tidak yang melibatkan nyawa.
"Kita tak mahu ambil risiko seperti kes yang berlaku di Semenyih, begitu juga di Pahang banyak kes berlaku seperti di daerah Kuantan, Rompin dan Pekan jadi sebab itu kita bertegas dalam hal ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tengkuk, kaki dia sejuk'
'Dah lama tak jumpa, tak sangka kali terakhir lihat dia begini'
'Tiada kesan lebam ditemui ketika dia pulang bercuti'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!