'Takkan tok guru nampak calon MCA sebagai imam baharu?'
PONTIAN - Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian terkini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sanggup menolak calon imam dari Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kali ini.
Sebaliknya beliau mendakwa Ahli Parlimen Marang itu lebih memilih calon 'imam' dari parti MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, ironi dengan kenyataan di PRK Cameron Highlands menolak calon bukan Islam.
Lebih melucukan keputusan itu juga bertentangan dengan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta pengundi Parlimen Tanjung Piai mengundi calon imam meskipun parti itu dianggap rasis dan menggugat kedaulatan Islam.
"Sekarang jadi pelik. (Lim) Kit Siang suruh undi tok imam (Karmaine), tok guru ulama dunia (Abdul Hadi) pula ajak tolak tok imam.
"Padahal masa PRK Cameron Highlands cakap tiada pilihan selain pilih calon Melayu Islam, takkan tok guru nampak calon MCA tok imam baharu," katanya ketika menyampaikan ceramah kelompok PH di Kampung Sawah Pekan Nanas di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon PH, Karmaini Sardini.
Mahfuz berkata, senario 'flip-flop' itu menunjukkan pemikiran Pas amat memalukan sehingga sanggup bertukar pendirian demi kelangsungan politik mereka.
Sementara itu Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yakin Karmaine bakal mendapat undi daripada pejuang 'tulen' Pas pada PRK kali ini.
"Pejuang Pas ialah golongan rasional yang menegakkan keadilan dan kebenaran serta menolak pemerintahan kerajaan yang zalim.
"Saya yakin pejuang Pas tulen akan bersama kita, akan sokong PH. Insya-ALLAH kerana mereka golongan yang rasional yang berjuang masa susah dahulu, menentang kerajaan zalim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!