'Anak ayam' tak sempat panjat laluan rahsia
IPOH - Cubaan 30 wanita warga Vietnam yang cuba melarikan diri daripada penguat kuasa gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan CM Yusuf malam tadi.
Kesemua wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) itu ditahan bersama dua lelaki tempatan berusia 40 dan 63 tahun oleh anggota Jabatan Imigresen Perak.
Pengarah Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, kesemua warga asing berusia 22 hingga 35 tahun itu dipercayai bekerja sebagai pelacur di pusat hiburan berkenaan yang baru beroperasi selama tiga bulan.
"Berdasarkan siasatan awal kesemua wanita itu didapati menyalah guna pas lawatan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Jadi kita akan siasatan dengan lebih terperinci.
"Kita juga mengesyaki seorang pemegang kad pemastautin tetap (PR) warganegara Vietnam salah guna pas dengan bekerja di pusat hiburan sebagai GRO," katanya selepas operasi tersebut di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika serbuan tersebut 28 wanita cuba melarikan diri melalui sebuah bilik rahsia di belakang ruang sembahyang di dalam premis tersebut.
Menurutnya, dua lagi wanita cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di celah-celah kotak minuman keras.
"Mereka yang bersembunyi di sebalik bilik rahsia ini tidak sempat untuk memanjat dan melarikan diri lebih jauh apabila kita tiba lebih awal.
"Kita yakin semua tidak dapat meloloskan diri dan kita berjaya tangkap semua warga asing ini," katanya.
Dalam pada itu, Kamaluddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk berkaitan pusat hiburan yang baharu dibuka atau disyaki mempunyai pekerja asing untuk menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Negeri Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!