Umno perlukan ‘mereka’ dalam PH

A
A
A

BERSATU, ketika Perhimpunan Agung Bersatu baru-baru ini, mula menunjukkan belangnya apabila begitu berani menuntut agar kerajaan memberikan kepada ketua-ketua bahagian projek-projek kerajaan. Kononnya demi menguatkan parti!

Dalam Bersatu begitu cakna dengan pelbagai salah laku Umno sebelum ini, kini Bersatu mula menunjukkan taring hipokrasinya.

Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengingatkan kepimpinan tertinggi Bersatu supaya tidak mengabaikan pimpinan akar umbi termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Logiknya mudah, ketua-ketua bahagian dan cawangan Bersatu sudah bertungkus lumus memastikan kejayaan Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya, lantas mereka perlu dibalas budi masing-masing.

Katanya, “semua ketua-ketua bahagian mesti mendapat aktiviti yang memberi peluang supaya mereka mampu meneruskan kerja daripada segi kewangan untuk mempertahankan kedudukan Pakatan Harapan”.

Tuntutan Abdul Rashid ini mendapat sorakan dan sokongan daripada para hadirin dan perwakilan di Perhimpunan Agung Bersatu tersebut.

Malah, sebaik sahaja beliau tamat berucap, ramai daripada barisan kepimpinan tertinggi Bersatu yang berada di atas pentas tersebut bertepuk gembira dan bersalaman dengan beliau seolah-olah bersetuju dengan tuntutan tersebut.

Apabila Abdul Rashid yang berkata demikian, sudah tentu Tun Mahathir hanya akan mengambil pendekatan selamat dengan mengatakan ia hanya pandangan peribadi Abdul Rashid kerana mereka adalah rakan baik.

Artikel Berkaitan:

Tetapi mereka lupa bahawa Abdul Rashid adalah Naib Presiden Bersatu dan mempunyai suara dalam mempengaruhi keputusan dan tindakan atasan parti. Tuntutan beliau turut melambangkan salah satu wajah buruk Bersatu!

Namun, pujian harus diberikan kepada Syed Saddiq kerana menjadi salah seorang pemimpin Bersatu yang lantang menentang tuntutan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ketua-ketua bahagian dan diugut akan dijatuhkan oleh orang-orang Bersatu sendiri. Wah!

Dalam kerajaan PH hari ini, jika bukan politikus dari Bersatu yang bikin perangai buruk, mesti politikus dari PKR atau Amanah yang bikin perangai buruk. Walaupun begitu, politikus daripada DAP jauh lebih berdisiplin dan kurang membuat perangai yang bukan-bukan.

Sebenarnya, ada kebaikan di sebalik kecanggungan yang dilakukan oleh para politikus PH ini. Ia membawa kebaikan kepada Umno dan untuk rakyat menilai sendiri bahawa ramai di antara mereka yang berada dalam PH berjuang atas dasar hipokrasi dan demi survival periuk nasi masing-masing. Bak kata orang lama, “mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”.

Jika sebelum ini Bersatu boleh berjuang tanpa ada sebarang dana daripada kerajaan, kenapa hari ini apabila Bersatu sudah memegang tampuk kepimpinan negara mula menjadi manja dengan mengharapkan bantuan kerajaan?

Tiba-tiba pula semua ketua bahagian perlu dibalas jasa mereka hanya kerana sudah berbakti kepada PH. Mereka ini sebenarnya mahu berjuang demi rakyat dan negara atau sekadar mahu memenuhkan tembolok masing-masing?

Umno yang sudah lemah ini memang memerlukan orang seperti Abdul Rashid dan orang seperti ‘mereka’ dalam PH. ‘Mereka’ yang dimaksudkan adalah orang-orang yang berkehendakkan budi mereka dibalas oleh kerajaan PH atas jasa-jasa mereka dan juga golongan-golongan yang kemaruk kuasa, pangkat dan harta.

Dengan wujudnya golongan ‘mereka’ ini dalam PH, Umno sudah boleh duduk tersenyum melihat Bersatu menghancurkan partinya sendiri dan juga pakatan dalaman PH. Justeru, apa yang Umno perlu fokus hari ini adalah kembali menguatkan parti dan Barisan Nasional serta memastikan Umno menjadi pembangkang yang kuat dan digeruni PH.

Saranan pemangku Presiden Umno agar Umno fokus kepada menguatkan semula parti dan berhenti berharap untuk kembali menawan Putrajaya melalui jalan belakang adalah satu saranan yang wajar disambut baik oleh semua.

Negara ini demokrasi. Kembali berkuasa sebagai kerajaan melalui jalan belakang adalah satu langkah yang menghina sistem demokrasi di negara ini dan hanya akan mengundang cercaan rakyat.

Dalam menguatkan Umno, hubungan dalam kalangan komponen parti BN juga perlu diperbaiki. Dalam usaha untuk menarik sokongan dan undi orang Melayu, Umno tidak boleh berjaya untuk menawan semula Putrajaya jika Umno dan rakan-rakan sekutunya gagal untuk mendapatkan undi bukan Melayu.

Biar Bersatu terus-menerus merosakkan diri mereka. Umno pula harus belajar daripada kesilapan lampau dan kembali menguatkan parti.

* Penulis ialah pemerhati senario politik Negaraku dan ahli Pergerakan Pemuda Umno Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!