Siasat kes pelajar tahfiz maut: Wan Azizah
BUKIT JALIL - Kerajaan akan menjalankan siasatan terhadap kes kematian seorang pelajar tujuh tahun di sebuah pusat tahfiz di Pahang kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, meskipun sekolah tersebut hanya mempunyai empat pelajar namun siasatan akan tetap diteruskan.
“Akan adakan satu siasatan kenapa ini berlaku. Walaupun ini kecil sahaja, ada empat pelajar tapi kenapa ada yang berusia tujuh tahun, yang lain 13 tahun.
“Kes buli, kematian satu penderaan ini, ada beberapa kes tanpa pendaftaran dan pengawasan juga. Ini semua akan dilihat secara keseluruhannya sebab ada penguatkuasaan yang berlainan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di sini pagi tadi yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid tahfiz mati dipercayai dipukul
'Dah lama tak jumpa, tak sangka kali terakhir lihat dia begini'
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh maut dipercayai dipukul selepas ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan lebam pada badan di asramanya semalam.
Pelajar lelaki yang berusia tujuh tahun itu ditemui wardennya kira-kira jam 1 tengah hari dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di klinik terbabit.
Tambah Dr Wan Azizah, beliau juga akan membincangkan isu tersebut dengan Jabatan Perdana Menteri (Agama), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
“Saya akan bincang dengan Fuziah Salleh, Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).
“Sebab ini berkaitan kesihatan, kebajikan juga majlis agama. Kita akan lihat bagaimana untuk tangani kes ini secara holistik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak memeriksa terlebih dahulu keadaan pusat tahfiz dan adakah mereka sudah berdaftar sebelum menghantar anak mereka ke pusat pengajian itu.
“Semua pihak termasuk orang yang hantar anak mesti sekurang-kurangnya periksa dulu, elok ke tak elok dan berdaftar ke tidak (pusat tahfiz itu) supaya kita dapat menangani dengan lebih berkesan,” katanya.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pusat tahfiz di Temerloh itu adalah sebuah rumah binaan batu yang dijadikan asrama tahfiz.
Menurutnya, pusat tahfiz yang telah beroperasi sejak Januari tahun ini juga tidak mempunyai lesen daripada Jabatan Agama Islam Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!