Ramai bukan penentu menang: Karmaine

Karmaine (kanan) ketika melawat penduduk berkerusi roda, Rahmah Salleh, 45, pada Program Ramah Mesra Bersama Pengundi Setempat di Kawasan Taman Sri Kiambang Pekan Nanas hari ini. -FOTO: BERNAMA
Karmaine (kanan) ketika melawat penduduk berkerusi roda, Rahmah Salleh, 45, pada Program Ramah Mesra Bersama Pengundi Setempat di Kawasan Taman Sri Kiambang Pekan Nanas hari ini. -FOTO: BERNAMA
A
A
A
PONTIAN - Kehadiran ramai orang sewaktu ceramah atau program calon tertentu ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bukanlah penentu atau ukuran kemenangan akan berpihak kepada calon berkenaan.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, perkara yang paling penting ialah mesej yang mahu disampaikan diterima pengundi kerana jumlah yang ramai ketika ceramah atau program kempen mungkin kerana kehadiran jentera-jentera pilihan raya dari luar.

“Saya rasa tidak (bukan ukuran), kadang-kadang yang ramai ini jentera-jentera dia dari luar dan sebagainya. Orang tempatan itu yang paling penting sebenarnya untuk mendapatkan mesej,” katanya ketika ditemui media selepas program ramah mesra bersama pengundi di Taman Sri Kiambang, Pekan Nanas di sini hari ini.

Karmaine berkata, beliau sentiasa yakin bahawa pendekatan yang telah dan akan dilakukan oleh jenteranya tetap dapat membantu dalam meraih kepercayaan pengundi termasuklah dengan cara berkempen dari rumah ke rumah.

“Setakat ini sambutan memang menggalakkan. Kat mana pun kita pergi orang ramai datang jumpa kita. Macam saya ini, orang sibuk nak bersalam, bergambar dan sebagainya. Ramai sebenarnya kenal-kenalan saya dulu lama tak jumpa. Anak-anak murid saya pun ada di Teluk Kerang. Bila jumpa tu, dia akan cakap beri sokongan dan saya percaya mereka akan hebah-hebahkan kepada pengundi setempat,” katanya.

Karmaine berkata, setakat tujuh berhari berkempen sehingga semalam ia sudah pun meliputi kesemua kawasan di Parlimen itu namun beliau akan meneruskan lagi kunjungan kedua dalam fasa berkempen seterusnya.

“Pasal kita tak boleh meninggalkan kawasan yang dulu kita menang. Kita perlu berjumpa pengundi di situ di samping pergi kawasan-kawasan yang dulu kita tak dapat majoriti (menang),” katanya.

Sementara itu menjawab dakwaan kononnya beliau diboikot oleh peringkat akar umbi kerana bukan merupakan calon pilihan pihak berkenaan Karmainie berkata, dakwaan itu tidak benar.

Terdahulu ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul di rumah bekas Imam Masjid Jamek Pekan Nanas, Ahmad Berlian Abdul Hanan di Pekan Nanas pagi tadi Karmaine berkata, kerajaan PH komited untuk mempertahankan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Artikel Berkaitan:


Beliau yang juga Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor berkata, ini jelas dilihat dalam Belanjawan 2020, yang tetap menitikberatkan syiar Islam dengan pertambahan bajet yang dilihat dalam usaha memperkukuhkan syiar Islam.

“Memang sudah menjadi pegangan kita selama ini. Agama Islam tetap jadi agama rasmi dalam Persekutuan. Kerajaan prihatin tentang perkembangan agama Islam,” katanya.

Turut hadir Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi hal ehwal agama Islam dalam usaha memperkasakan agama Islam.

PRK Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan Karmaine menerima tentangan dari calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan, Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!