Kerajaan PH di Perak masih kukuh, kata Muhyiddin

Muhyiddin bercakap pada sidang media di sebuah hotel di Pusat Perdagangan Pontian hari ini. -FOTO: BERNAMA
Muhyiddin bercakap pada sidang media di sebuah hotel di Pusat Perdagangan Pontian hari ini. -FOTO: BERNAMA
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan Negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) masih kukuh dengan parti komponen tetap bekerjasama untuk kerajaan negeri berada dalam keadaan baik, kata Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin berkata, meskipun terdapat sedikit masalah dari segi komunikasi kerajaan PH di Perak terus mengutamakan hubungan dan jalinan kerjasama yang disifatkan kekal utuh antara satu sama lain bagi kepentingan kemajuan serta pembangunan di negeri itu.

"Ada (perselisihan faham dalam PH), biasalah antara parti seperti dalam komponen PH itu, sedikit sebanyak ada masalah dari segi hubungan, saya tak boleh nafikan.

"(Namun) Mereka tetap mengutamakan kerjasama untuk menentukan supaya kerajaan Perak itu kerajaan yang agak mantap dan stabil kerana kita mempunyai tugas dan amanah yang mesti dilaksanakan untuk memajukan dan membangunkan negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap dapat 'merampas' Perak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Itu harapan dia (Ahmad Zahid) tetapi saya yakin bahawa kerajaan PH di Perak masih kukuh.

“Saya yakin bukan sahaja Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) tetapi dengan rakan-rakan dalam kerajaan yang ada terdiri daripada Bersatu, PKR, Amanah dan DAP akan terus bentuk jalinan kesefahaman untuk membolehkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Perak ketika ini dapat dilaksanakan," katanya.

Sejak semalam tular sebuah klip video dengan Ahmad Faizal didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa beliau 'berseorangan melawan puak DAP di Perak' ketika turun berkempen bersama calon PH bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini baru-baru ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!