Kita ada peluang menang di Cameron Highlands: Najib
PEKAN - Bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yakin calon dipilih bagi mewakili BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini berpotensi menang.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, ini kerana kekecewaan rakyat dengan PH yang gagal menunaikan banyak janji kempen PRU14 lalu, boleh menjadi faktor utama penolakan pengundi kawasan terbabit.
"Saya percaya kita ada peluang baik untuk menang kerusi Parlimen Cameron Highlands tapi kita mesti melakukan kerja kerja pilihan raya dengan bersungguh-sungguh sebab kawasan tu pendalaman dan sukar.
"Berdasarkan kekecewaan rakyat yang mereka (PH) tidak dapat menunaikan janji-janji itu. Ia akan beri kesan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan anjuran Yayasan Pahang dan Pejabat Ahli Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli.
Dalam pada itu, Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata, kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa kerajaan BN sebelum ini tidak banyak membantu masyarakat Orang Asli adalah tuduhan tidak benar.
"PH tidak memberi peruntukan untuk masyarakat Orang Asli untuk 2019, tapi kita menjalankan banyak projek untuk Orang Asli dan saya sendiri melancarkan projek penempatan semula Orang Asli tahun lepas.
"Antaranya rumah-rumah di perkampungan sudah semakin selesa. Jadi pembangunan orang asli ni kosnya tinggi kerana perkampungan mereka ni bertaburan dan mereka tinggal jauh-jauh, tiada perhubungan. Cabaran pembangunan untuk masyarakat Orang Asli memang tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!