PRK Tanjung Piai: Mat Sabu akui PH ketinggalan

Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga salah seorang pemimpin Amanah Terengganu yang meninggal dunia baru-baru ini.
Mohamad (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga salah seorang pemimpin Amanah Terengganu yang meninggal dunia baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengakui kedudukan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai masih ketinggalan berbanding pembangkang.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, perkembangan tersebut disebabkan rakyat di sana belum dapat menghayati setiap penerangan yang dibuat pakatan itu berhubung sesuatu dakwaan terhadap PH khususnya sentimen perkauman.

“Tuduhan yang mengatakan PH alat kepada DAP menyebabkan orang-orang Melayu agak marah (sedangkan) surat khabar Cina pula mengatakan Lim Guang Eng (Menteri Kewangan) atau DAP alat kepada Tun Mahathir (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Jadi kita kena memberi penerangan yang kuat di Tanjung Piai untuk membuang tanggapan salah ini, kita kena berusaha kuat,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Amanah Terengganu di The Regency Waterfront Hotel di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Bagaimanapun Mohamad berkata, populariti calon PH, Karmaine Sardini dilihat sedang meningkat naik dan beliau berharap parti itu dapat mengekalkan kedudukan di kerusi berkenaan nanti walaupun berdepan kesukaran.

Katanya, PH akan berusaha menggembleng sokongan semua kaum dengan kehadiran pemimpin utama PH di sana termasuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Tanjung Piai pada 13 November nanti.

“(Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga akan berada sehari suntuk di sana pada 11 November dan kami akan gembleng sokongan semua kaum supaya mereka dapat menyokong PH.

Artikel Berkaitan:

“Isu tertentu seperti SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) akan kita jawab. Kita janji untuk meminda SOSMA itu dan pihak peguam negara sedang bekerja keras meminda akta ini yang dianggap drakonian,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November sebagai hari mengundi PRK Parlimen Tanjung Piai susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu calon PH, Karmaine Sardini; Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam; Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!