Lelaki Temiar terima Anugerah Pendakwah
IPOH - Kesungguhan tanpa mengenal erti jemu berdakwah sehingga berjaya mengislamkan lebih 200 keluarga orang asli melayakkan Arifin Long Chor, 43, dari suku kaum Temiar menerima Anugerah Pendakwah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.
Arifin dari Pos Piah Sungai Siput berkata, beliau tidak pernah berputus asa walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh pada awal pembabitannya sebagai pendakwah orang asli termasuk pernah dihina dan dipulaukan komuniti sendiri.
Beliau berkata, kehidupannya bersama keluarga ketika itu juga ibarat 'orang terbuang' apabila tidak lagi diambil peduli oleh penduduk.
Beliau yang memeluk Islam pada ketika usia awal 15 tahun secara perlahan-lahan mendalami ilmu agama bersama ayahnya sebelum menerima pentauliahan sebagai pendakwah daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 2000.
"Dipulaukan atau dihina itu sudah jadi perkara biasa kerana memang secara umumnya mereka menganggap orang-orang Islam ini berbeza, bukan sebahagian kelompok mereka lagi.
"Jadi sudah tentulah sangat sukar untuk mendekatkan Islam kepada mereka, setiap kali kita berdakwah, mereka buat tidak endah dan tak mahu ambil peduli, ada juga yang membalas dengan ejeken.
"Tetapi saya anggap itu hanya cabaran kecil sedangkan di zaman Rasulullah SAW berdakwah dahulu, lebih hebat dugaannya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Usaha dan tekad beliau tanpa mengenal erti jemu dalam menyemarakkan usaha dakwah telah berjaya mengislamkan lebih 200 keluarga dari empat kampung iaitu Kampung Kembok, Piah, Gentes dan Teras di Pos Piah.
Sehingga kini, lebih 80 peratus penduduk di perkampungan itu beragama Islam.
Arifin berkata, usaha dakwah kalangan orang asli menuntut kesabaran tinggi kerana masyarakat itu tidak mudah dipengaruhi apatah lagi dalam pegangan agama.
Katanya, selama bertahun-tahun hidup dengan kepercayaan masing-masing, mereka takut pengaruh agama lain akan menjejaskan komuniti itu.
"Kalau kita tarik dan paksa terus, memang susahlah sebab saya sendiri pun belajar dari bawah, kena pujuk secara perlahan-lahan, lama kelamaan mereka akan nampak keindahan Islam dan secara sendirinya suka kepada Islam," katanya.
Bapa kepada sembilan cahaya mata itu berkata, pengiktirafan Anugerah Pendakwah yang diberikan itu membakar semangatnya untuk meneruskan usaha dakwah kepada kelompok komuniti orang asli yang lain.
"Saya sangat terharu kerana sama sekali tidak pernah bermimpi menerima anugerah sebegini, apatah lagi daripada baginda sultan sendiri.
"Apa yang saya lakukan ini tidak seberapa, hanya usaha kecil untuk memartabatkan Islam khususnya kalangan orang asli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!