Khazanah, KWSP kongsi pandangan isu PLUS
KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan dua pemegang kepentingan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sependapat bahawa kepentingan rakyat atau sosial perlu diambil kira dalam isu pengambilalihan syarikat konsesi tol terbesar negara itu.
Ketika berkongsi pandangan masing-masing hari ini, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan turut mengetengahkan tiga persoalan asas yang disifatkan beliau wajar diambil kira sebelum melepaskan 51 peratus kepentingan dalam PLUS.
Ini termasuk apakah lebih baik PLUS dimiliki bagi pihak rakyat atau pun entiti swasta yang lebih mengutamakan keuntungan dan akan cuba mendapatkan sebanyak mana pun manfaat yang ada.
Persoalan lain, katanya, adalah keinginan merealisasikan pengurangan tol dalam jangka pendek sebagai pertukaran dengan konsesi tol yang lebih lama.
"Apa juga bentuk pengurangan tol, jika anda lihat cadangan yang dikemukakan itu, secara asasnya memerlukan lanjutan tol lebih lama...(namun) apakah anda mahu mengetepikan masa depan demi (manfaat) jangka pendek sekarang?
"Ini menyamai persoalan mengenai alam sekitar iaitu kebimbangan mengenai alam sekitar dan iklim. Bagaimana anda mahu menukar manfaat jangka pendek berbanding perlindungan jangka panjang?," soal beliau.
Shahril Ridza berkata demikian ketika menjawab pertanyaan hadirin sama ada Khazanah dan KSWP berminat untuk melepaskan kepentingan masing-masing dalam PLUS.
Beliau merupakan antara penceramah pada sesi bertajuk Agenda Korporat: Pengubah Permainan - Merevolusikan Industri Malaysia’ di Forum Ekonomi Belia 2019 di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Shahril Ridza berkata, jaminan kerajaan diperlukan bagi memastikan cadangan pengambilalihan itu dapat dilaksanakan.
"Ini bagi memastikan entiti swasta itu mendapat manfaat daripada jaminan kerajaan berbanding rakyat yang memilikinya pada hari ini. Inilah tiga perkara yang perlu dipertimbangkan sekiranya anda berbicara mengenai tol dan penstrukturan semula tol,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, KWSP tak setuju Maju Holdings ambil alih PLUS
Khazanah tak berminat jual PLUS
Sebelum ini, beliau telah menegaskan bahawa Khazanah yang juga cabang pelaburan strategik milik kerajaan itu tidak berminat untuk melepaskan kepentingannya dalam PLUS.
Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala baki 49 peratus dipegang oleh KWSP susulan pengambilalihan pada 2011 membabitkan transaksi bernilai RM32 bilion.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias pula menegaskan bahawa dana persaraan itu perlu memastikan bahawa ia seharusnya selesa dengan pihak lain terbabit sekiranya penjualan kepentingan PLUS itu diteruskan.
"Setakat ini, (pendapat) Khazanah dan KWSP adalah senada kerana kami berkhidmat untuk rakyat Malaysia. (Penjualan kepentingan itu) perlu lebih realistik kepada ahli KWSP dari segi pulangan kewangan.
"Sekiranya kami perlu melupuskan kepentingan itu, apakah ini berbaloi untuk dijual pada masa ini demi membolehkan pemberian dividen yang anda mahukan atau apakah kami perlu terus mempertahankannya bagi memastikan kami mendapat pulangan yang mampan?” tegasnya.
Malah, jelas Tunku Alizakri, pulangan serta manfaat itu bukan hanya membabitkan soal kewangan tetapi juga faedah sosial kerana infrastruktur di bawah PLUS telah memberi ahli KWSP penyelesaian mobiliti berikutan lebuh raya itu meliputi jarak sejauh 1,200 kilometer merentasi Semenanjung Malaysia.
"Perbincangan mengenainya sentiasa mengenai (kepentingan) 51 peratus dan mereka lupa mengenai (pemegang kepentingan) 49 peratus di sini. Tetapi perlu diingat, kami juga ada suara (hak) dalam membuat keputusan ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!