Pacuan empat roda ditenggelami air paras bumbung
KOTA BHARU - Enam rakan berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda yang secara tiba-tiba ditenggelami air sehingga menghampiri paras bumbung di Kampung Pasir Jering, Chenulang, Kuala Krai petang semalam.
Kejadian berlaku jam 6.30 petang ketika keenam-enam lelaki berada di dalam kenderaan itu cuba meredah jalan yang dinaiki air untuk pulang ke rumah selepas membayar gaji pekerja di sebuah ladang.
Seorang daripada mangsa, Mohd Fadhil Hazmi, 39, berkata, air naik secara mendadak menyebabkan kenderaan yang dinaiki mereka tersekat dan tidak boleh bergerak ke depan mahupun berundur dari kawasan itu.
"Ketika itu laluan telahpun dinaiki air namun kami cuba meredahnya kerana kami menaiki pacuan empat roda. Ketika berada di tengah jalan secara tiba-tiba, air naik secara mendadak pada paras lebih dua meter dari anak sungai berdekatan menyebabkan kenderaan kami tersekat dan mula ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Fadhil berkata, mereka terperangkap di dalam kenderaan kerana tidak dapat membuka pintu namun berjaya menyelamatkan diri selepas bertindak keluar melalui tingkap dan duduk di atas bumbung kenderaan.
Katanya, mereka berpaut pada bumbung itu sebelum berenang sejauh lebih 100 meter ke tebing menggunakan pelampung yang diberikan penduduk kampung berdekatan sebelum diselamatkan anggota bomba.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Jaafar Jafari Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.17 malam dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu terperangkap ketika dalam perjalanan pulang dari Ladang Chenulang.
"Berdasarkan maklumat kesemua lelaki itu terperangkap selepas kenderaan dinaiki cuba melepasi air yang naik mendadak selepas hujan lebat di laluan dekat Kampung Pasir Jering. Mereka bernasib baik kerana dapat keluar melalui tingkap kenderaan sebelum duduk di atas bumbung," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan penyelamat terpaksa menyusuri dua batang anak sungai bagi menyelamatkan kesemua mangsa menggunakan bot kira-kira jam 12.53 tengah malam tadi.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!