Atasi kemiskinan, rasuah dalam Malaysia Baharu: Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cerita ‘Malaysia Baharu’ tidak harus bertumpu kepada bangsa dan agama, sebaliknya ia sepatutnya menyelesaikan kemiskinan bandar dan memerangi rasuah, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini bukan Melayu lawan Cina, ini adalah sebuah cerita baharu, majoriti yang miskin di bandar adalah Melayu, India di estet dan sebilangan kecil orang Cina tetapi mereka masih sebahagian daripada keluarga besar kita di Malaysia, dan mereka di Sabah dan Sarawak.

"Dan jika anda (belia) tidak cukup mengambil berat, peduli atau rasa belas kasihan kepada yang miskin, jadi janganlah bercakap soal bangsa, jangan bercakap pasal agama, dan jangan cakap mengenai kemakmuran bersama,” katanya dalam sidang pleno Forum Ekonomi Belia 2019, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berharap generasi muda hari ini akan dapat berpegang pada cerita baharu ini dan menyelesaikan isu kemiskinan yang mendesak, sambil menambah generasi beliau belum dapat mengatasinya.

“Saya mempunyai harapan tinggi dengan pertukaran (idea) dan syarahan seperti ini, anda akan menghasilkan perubahan yang kami generasi lebih tua, belum dapat melakukannya.

“Kesetiakawanan secara umum dalam kalangan pelajar dalam 1960-an jauh lebih baik daripada sekarang. Ia menggambarkan kegagalan tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini kemiskinan adalah cabaran utama kepada kerajaan, hasil amalan rasuah dan gemar hidup dalam kemewahan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Terdapat banyak faktor yang menyukarkan negara dan selanjutnya rakyat Malaysia untuk mengecap kemakmuran walaupun Pakatan Harapan sudah berjaya di dalam banyak perkara.

Artikel Berkaitan:

"Gaya hidup mewah, rasuah yang endemik dan jutawan tamak yang masih cuba meneruskan cara mereka hingga ke hari ini. Ini adalah cabaran utama dan bukan mudah buat kami dan Perdana Menteri kita (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk menghapuskan apa yang telah diamalkan selama enam dekad,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!