Panel PBB sifatkan kematian Morsi pembunuhan sewenang-wenangnya

Mohamed Morsi. - Foto AFP
Mohamed Morsi. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Panel bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan kematian bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi pada Jun lalu sebagai pembunuhan sewenang-wenangnya.

"Morsi ditahan dalam keadaan yang boleh digambarkan sebagai kejam terutamanya semasa penahanannya selama lima tahun di kompleks penjara Tora.

"Kematian pemimpin itu selepas bertahan selama beberapa tahun dengan keadaan sebegitu boleh disifatkan sebagai pembunuhan sewenang-wenangnya," menurut kenyataan dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia.

Pakar hak asasi manusia diketuai pelapor khas Agnes Callamard dan Kumpulan Kerja PBB mengenai penahanan sewenang-wenang turut mendakwa rejim Presiden Abdel-Fattah el-Sisi telah melakukan pelanggaran hak penjara.

Dalam satu surat kepada kerajaan, pakar hak asasi manusia menggariskan keadaan yang mungkin menyebabkan kematian Morsi termasuk pengasingan bersendirian dan kekurangan rawatan perubatan yang penting.

"Morsi ditahan dalam kurungan selama 23 jam sehari. Beliau tidak dibenarkan bertemu tahanan lain walaupun sejam sehari ketika beliau dibenarkan untuk bersenam.

"Beliau dipaksa tidur di atas lantai konkrit dengan hanya satu atau dua selimut. Morsi juga tidak dibenarkan mengakses buku, jurnal, bahan penulisan mahupun radio," katanya.

Selain itu, Morsi dinafikan rawatan untuk diabetes dan tekanan darah tinggi selain mata kirinya mula tidak dapat melihat.

Artikel Berkaitan:

Keadaannya bertambah buruk apabila sering pengsan dan mengalami kerosakan gigi penting dan jangkitan gusi.

"Pihak berkuasa telah diberi amaran berulang kali bahawa keadaan penjara Morsi boleh menjejaskan kesihatan dan membunuhnya.

"Tetapi tiada bukti pihak berkuasa bertindak dengan amaran itu meskipun akibatnya dapat dijangka," jelasnya lagi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!