Larangan merokok: Peniaga di Johor akui sedikit terjejas
Bagaimanapun, rata-rata daripada mereka mendakwa purata pendapatan merudum sejak peraturan tersebut dikuatkuasakan.
Bagi peniaga nasi campur dan masakan panas, Johanizam Seran, 45, mengakui pelanggannya semakin berkurang.
"Kalau dahulu, kebanyakan pelanggan datang menjamu selera sambil menghisap rokok.
"Kini, ada pula yang datang bertanya sama ada boleh merokok atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian.
Johanizam berkata, peraturan yang dikuat kuasa kerajaan ini amat baik, namun lebih baik disediakan ruang untuk perokok di premis makanan.
"Langkah ini amat baik untuk menggalakkan golongan perokok menjaga kesihatan mereka.
"Namun, perlu ada inisiatif yang disediakan pihak kerajaan. Jika tidak, kami khuatir pendapatan kami akan terjejas," katanya.
Sementara itu, peniaga kacang pool, Mohd Sirma Omar, 34, turut mendakwa perniagaannya turut terjejas.
"Premis perniagaan saya ini berdekatan dengan bangunan kerajaan dan selalunya orang ramai akan singgah ke sini untuk menjamu selera.
"Bagaimanapun, saya perasan, sekarang pelanggan semakin berkurang. Pendapatan juga merosot sekitar 30 peratus setiap hari," katanya.
Berikutan itu, Mohd Sirma kini terpaksa mengambil tempahan luar untuk menampung hasil pendapatan perniagaannya.
"Bermula minggu ini, saya turut berniaga di pasar malam pada hujung minggu.
Tujuannya untuk menampung hasil perniagaan di kedai yang terjejas selain menambah pendapatan yang diperoleh.
"Oleh itu, saya juga berharap agar ruang untuk merokok turut disediakan di premis-premis makanan dalam masa terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!