18 tahun, matangkah mereka?
ISU kelayakan mengundi diturunkan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun terus menjadi perdebatan.
Timbul persoalan, sejauh mana mereka yang berumur 18 tahun boleh menentukan pemilihan sendiri pada pilihan raya nanti?
Adakah mereka yang berumur 18 tahun sudah cukup matang membuat keputusan sendiri dan bukan dipengaruhi orang lain dalam menentukan calon dan parti mana yang terbaik untuk mereka? Benarkah rata-rata anak muda kurang berminat dalam politik?
Jika dilihat daripada mata kasar, ramai menganggap mereka kurang berminat dalam politik dan lebih cenderung dengan gajet dan internet.
Golongan millennial ini memang menjadi keutamaan dengan media sosial.
Namun, jika diteliti secara imperikal, anak muda juga sebenarnya telah 'terjebak' dengan politik negara tetapi oleh kerana wujudnya larangan sebelum ini untuk mereka tercebur dalam politik menyebabkan penglibatannya agak terhad.
Persoalannya, kalau nak dikatakan mereka belum cukup matang, kenapa di Malaysia umur 18 tahun melayakkan seseorang untuk membayar cukai, memohon lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan atau menyertai pasukan polis dan tentera.
Mereka yang seusia sebegini juga sudah layak berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri serta menandatangani sebarang kontrak.
Berdasarkan fakta ini bolehlah dikatakan bahawa umur 18 tahun sudah boleh diberi bertanggungjawab yang serius mengikut perundangan negara.
Ini menandakan mereka telah layak menjadi pengundi. Mereka sebenarnya sudah matang.
Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen membolehkan rakyat mengundi calon mengikut kawasan masing-masing yang akan mewakili mereka di Parlimen.
Maka, ahli-ahli yang ingin dilantik perlulah menarik perhatian rakyat Malaysia yang akan mengundi tetapi secara logiknya adakah mereka akan berjaya menarik perhatian semua rakyat?
Sudah tentu tidak kerana mereka cuma akan menarik hati golongan yang boleh mengundi.
Golongan yang tidak ada hak untuk mengundi boleh dikatakan sebagai golongan yang tidak memberikan mereka sebarang kepentingan. Senario akan berbeza.
Golongan remaja adalah antara bakal pengundi pada masa akan datang yang akan mencorak politik dan pentadbiran negara.
Dengan membenarkan undi kepada orang muda berumur 18 tahun, kita juga memberi suara kepada mereka supaya dapat didengar oleh ahli-ahli politik dan pembuat dasar negara. Selama ini kita menafikan hak untuk mengundi seramai 1.5 juta anak muda.
Kita juga sebenarnya selama ini menafikan hak anak muda muncul sebagai pemimpin.
Malah, mengikut perundangan baharu anak muda seusia 18 tahun sudah boleh menjadi menteri atau Perdana Menteri!
Ini adalah hakikat baharu yang seharusnya diketahui oleh rakyat Malaysia apabila kerajaan bersetuju bahawa individu berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.
Jika berdasarkan 400,000 pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia setiap tahun, akan ada lebih 1.5 juta pengundi baharu daripada kalangan remaja berusia bawah 21 tahun layak sebagai pemilih jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada 2023.
Pendidikan demokrasi
Amalan demokrasi dunia menunjukkan had layak mengundi di seluruh dunia adalah 21 tahun ke atas dan antara negara yang telah menurunkan had umur kepada 18 tahun layak mengundi ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, Perancis, India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Jepun, manakala di Indonesia dan Timor Leste, umur 17 tahun sudah layak mengundi.
Negara yang mengamalkan kelayakan umur mengundi kepada 17 atau 18 tahun telah mempunyai peraturan dan prosedur serta manual dengan memperkenalkan pendidikan demokrasi dan politik matang di peringkat sekolah menengah lagi.
Mereka juga aktif dalam parti politik pilihan masing-masing. Malah, mereka telah didedahkan dengan sistem demokrasi pada pilihan raya di sekolah dan kampus. Masing-masing mendapat hak yang saksama dalam menentukan pilihan atas nama demokrasi.
Hakikatnya kecelaruan politik dalam negara berpunca daripada ketidakmatangan orang dewasa berpolitik.
Jika golongan dewasa dan tua sendiri tidak menunjukkan kematangan, maka politik kita juga tidak matang. Keadaan ini juga menyebabkan anak muda kita lambat mencapai tahap kematangan politik.
*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!